YAMAHA Tenere 700 (2024) Kini Rasmi Di Malaysia, Asas RM 69,988!

TERKINI

2/1/20241 min read

YAMAHA Motor Malaysia, hari ini mengumumkan kehadiran model motosikal dalam segmen 'Adventure' popularnya, Yamaha Tenere 700 (2024) secara rasmi di pasaran Malaysia.

Begitupun, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pihak HLYM sebelum ini pernah menayangkan motosikal berkenaan di Karnival Yamaha GEN BLU 2023 di Kota Kinabalu, Sabah tahun lalu.

Dan tiada perubahan membabitkan harga jualan yang disyorkan iaitu RM 69,988 (asas). Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Begitupun hanya satu pilihan warna ditawarkan di pasaran tempatan iaitu Icon Blue.

Seperti laporan sebelum ini, Yamaha Tenere 700 (2024) adalah model 'Adventure on/off- road' pertama syarikat itu setakat ini.

Terkenal dengan kelasakan dan kemampuan 'tork' yang tinggi, Yamaha Tenere 700 (2024) dijana enjin CP2 bersesaran 689 cc, 2 Silinder Sebaris dengan 270 darjah 'Crankshaft'. Ia dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Dipadankan dengan kerangka yang ringan, kuasa yang dihamburkan motosikal ini adalah 72.3 Hp pada 8,750 rpm dan tork 67 Nm pada 6,500 rpm.

Tiba sebagai model terkini di pasaran global, Yamaha Tenere 700 (2024 di Malaysia lengkap dengan kemas kini dari sudut teknologi antaranya kluster meter TFT berwarna 5 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.

Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) turut dipertingkatkan dan kini datang dengan tiga mod, (ABS on, ABS off dan Tayar Depan/Belakang off).

Selain itu, perubahan lain yang dilakukan termasuklah rekaan tuil brek yang lebih 'ranggi' selain soket pengecas USB yang menggantikan soket pengecas 12V.

Seperti biasa, setiap pembelian akan memperoleh Kunci Cakera Yamaha bernilai RM 100.