YAMAHA Tenere 700 (2026) Dilancarkan, Makin Berbaloi, RM 58,988!
Ketika versi terdahulu Yamaha Tenere 700 dilancarkan di pasaran tempatan pada 2024, harga jualan yang diumumkan oleh Hong Leong Yamaha Motor adalah RM 69,988 (asas)
PELANCARAN
3/31/20262 min read


YAMAHA Motor Malaysia membuat kejutan dengan melancarkan versi kemas kini model 'Adventure touring' popularnya, Yamaha Tenere 700 (2026) bersama harga jualan yang boleh dikatakan cukup menarik RM 58,988.
Seperti biasa, harga yang didedahkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Sebelum pergi lebih jauh, ketika versi terdahulu Yamaha Tenere 700 dilancarkan pada 2024, harga jualan yang diumumkan oleh Hong Leong Yamaha Motor adalah RM 69,988 (asas).
Justeru, penurunan harga lebih daripada RM 10k berlaku untuk model terkini dan datang bersama beberapa naik taraf dan peningkatan yang boleh dianggap mengujakan.
Sebagai model yang dikatakan menawarkan keseimbangan antara keselesaan perjalanan jarak jauh dan keupayaan lasak sejati, Yamaha Tenere 700 sememangnya mempunyai peminatnya tersendiri di pasaran tempatan.
Sama seperti versi terdahulu, hanya satu pilihan warna tersedia iaitu:
Adventure Blue
Ulas kemas kini yang dilakukan, antara pembaharuan utama adalah pengenalan Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) atau bahasa mudahnya 'ride by wire' yang dikatakan memberikan respon pendikit lebih lancar dan tepat.
Dengan pengenakan YCC-T, penunggang kini memiliki pilihan dua mod tunggangan - SPORT untuk tunggangan agresif dan EXPLORER untuk hantaran kuasa yang lebih halus, sesuai untuk perjalanan jarak jauh.
Selain itu, tersedia 3 mode untuk Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Traction Control System
(TCS) boleh diaktifkan atau dimatikan yang memberi fleksibiliti kepada penunggang.
Sistem suspensi depan turut dipertingkatkan dengan fork USD (depan) kini lengkap dengan ciri pelarasan penuh (rebound dan compression) 43 mm.
Dari sudut keselesaan tunggangan, ia turut dipertingkatkan dengan posisi tunggangan yang lebih ergonomik melalui pelana lebih rata dan footrest yang lebih besar.
Sekali pun tidak ketara, panel badan Yamaha Tenere 700 (2026) turut mengalami perubahan termasuk panel belakang dengan posisi tangki bahan api dianjak ke depan sedikit.
Turut baharu adalah di bahagian suis yang katanya lebih intuitif termasuk fungsi isyarat tiga kali dan pembatalan automatik.
Untuk pencahayaan yang lebih baik, Yamaha Tener 700 (2026) turut dilengkapi dengan lampu hadapan quad LED baharu dengan panel meter jenis TFT bersaiz 6.3 inci dengan sambungan ke telefon pintar dan navigasi turn-by-turn.
Ulas trenkuasa, Yamaha Tenere 700 (2026) kekal dengan padanan enji CP2 bersesaran 689 cc, 2 Silinder DOHC bersama transmisi 6 kelajuan dengan kuasa kekal 73 Hp pada 9,000 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm.
Seperti model terdahulu, turut tersedia adalah port USB Type-C, tinggi pelana 875 mm, kapasiti tangki bahan api 16 liter, rim jejari depan 21 inci dan 18 inci (belakang) serta berat 208 kg.















