YAMAHA Tenere 700, Tracer 9GT, MT-09 Terima Notis Panggilan Semula!
Notis panggilan semula dikeluarkan oleh JPJ membabitkan tiga model motosikal popular keluaran Yamaha — Tenere 700, Tracer 9GT, dan MT-09 — berikutan isu teknikal
TERKINI
7/9/20251 min read


TIGA model motosikal popular keluaran Yamaha - Tenere 700, Tracer 9GT dan MT-09 - menerima notis panggilan semula yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hari ini.
Menerusi hebahan di media sosial, pemakluman berkenaan adalah disebabkan isu teknikal yang dikatakan berpotensi menjejaskan keselamatan penunggang.
Bagi Yamaha MT-09, motosikal yang menerima notis berkenaan adalah keluaran dari November 2021 sehingga Februari 2025 yang membabitkan 1,649 unit.
Justeru, model yang terkesan membabitkan dua generasi iaitu MTN890D dan terbaharu MTN890V.
Masalah yang dihadapi adalah membabitkan Sensor Kedudukan Pendikit (TPS).
Untuk Yamaha Tracer 9GT, unit yang terkesan adalah keluaran November 2021 sehingga Feb 2025 yang membabitkan 1,369 unit dengan masalah serupa dengan MT-09 iaitu Sensor Kedudukan Pendikit-TPS.
Bagi Yamaha Tenere 700, unit yang terkesan adalah bagi keluaran 2023 sehingga 2024 membabitkan 149 unit.
Masalah yang dihadapi pula adalah membabitkan sistem klac.
JPJ menegaskan panggilan semula ini adalah langkah proaktif untuk mengelakkan kemalangan akibat kerosakan sistem kawalan dan mekanikal.
Justeru, mereka menasihatkan pemilik model-model terbabit untuk menyemak nombor casis dan menghubungi pusat servis Yamaha terdekat, membuat penjadualan pemeriksaan dan pembaikan secepat mungkin.
Tiada sebarang caj dikenakan untuk proses pembaikan dengan kos ditanggung oleh pengeluar.


