YAMAHA Terpalit Kes Pemalsuan Data Ujian, Yamaha R1, R3, TMax Antara Terjejas!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/6/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal terkemuka Jepun, Yamaha dipalit skandal pemalsuan data ujian yang membabitkan tiga model - Yamaha YZF-R1, Yamaha YZF-R3 dan skuter maxi, Yamaha TMax.

Skandal berkenaan terdedah berikutan pemeriksaan besar-besaran yang dijalankan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun ke atas Yamaha Motor Co., baru-baru ini.

Yamaha dikatakan menjadi pengeluar kenderaan utama kedua mengharungi pemeriksaan di lapangan oleh kementerian berkenaan mengikuti pemeriksaan terhadap Toyota.

Secara keseluruhan, kementerian itu dikatakan merancang untuk melakukan pemeriksaan sama ke atas beberapa lagi pengeluar termasuk Honda dan Suzuki.

Tetapi tidak seperti Toyota yang didapati memalsukan data ujian membabitkan keselamatan, kes Yamaha pula membabitkan data ujian bunyi dan alas sekitar malah ia sudah pun disedari oleh pengeluar Iwata itu sendiri serta permohonan maaf sudah pun dibuat.

Difahamkan, Yamaha dikatakan memalsukan data ujian bunyi membabitkan emisi atau ekzos untuk model Yamaha YZF-R1 manakala untuk model R3 dan TMax, ia membabitkan bunyi.

Menurut laporan Japan News, Yamaha sudah menghasilkan sekitar 7,500 unit motosikal daripada ketiga-tiga model yang terjejas.

Setakat ini, pihak berkuasa Jepun sudah pun mengarahkan pemberhentian penghantaran untuk Yamaha YZF-R1 namun tidak mengeluarkan arahan sama terhadap R3 dan TMax.

Selain itu, laporan media tempatan turut menyebut Yamaha berkemungkinan besar akan berdepan penalti susulan kes berkenaan.