YAMAHA TMax (2025) Muncul Di Jepun, Rekaan Depan Lagi 'Umph'!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/27/20252 min read


YAMAHA mengumumkan kehadiran versi terbaharu skuter premiumnya, Yamaha TMax (2025) di pasaran Jepun, model yang mendapat beberapa perubahan termasuk dari sudut teknologi dan menariknya, rekaan.
Sebagai salah satu skuter premium paling laris di pasaran global, Yamaha TMax (2025) di negara Matahari Terbit itu datang dengan dua varian, Yamaha TMAX 560 Tech Max ABS dan TMAX 560 ABS.
Dan menurut Yamaha Motor Japan, skuter berkenaan akan dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari ini.
Selepas Jepun, ia dijangka akan memasuki beberapa lagi pasaran utama seperti Eropah, Amerika Utara, dan Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Membuat penampilan awal pada Oktober tahun lalu, Yamaha berkata, rekaan Yamaha TMax (2025) kini lebih agresif dan sporty.
Tidak lagi 'tajam', bahagian depan skuter ini diolah semula untuk memberikan kesan yang lebih dinamik dan moden termasuk lampu hadapan LED serba baharu dan dikatakan meningkatkan ciri aerodinamik.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha TMax (2025) dipadankan dengan enjin 561 cc, 2 Silinder bersama transmisi automatik dengan kuasa yang dihasilkan adalah 45 Hp @ 7,000 rpm dan tork 55 Nm @ 5,250 rpm.
Yamaha berkata, trenkuasa ini dioptimumkan untuk memberikan kuasa yang lebih tinggi dan penggunaan bahan api yang lebih cekap serta memenuhi piawaian emisi Euro 5 yang ketat. Selain itu, ia dikatakan lebih 'senyap'.
Sebagai skuter aras tinggi, Yamaha TMax (2025) turut dipadankan dengan unit unjuran inersia (IMU) 6-paksi dengan sistem kawalan elektronik tersedia termasuklah Kawalan Traksi dan Kawalan Brek (BC).
Dua mod tinggangan tersedia iaitu Sport (S) dan Touring (T).
Ciri-ciri menarik yang kekal termasuklah Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), pemanas pada grip hendal, sistem lampu LED penuh dengan ciri adaptif.
Panel instrumen TMax (2025) juga diperbaharui dengan rekaan baharu dan kekal lengkap menyokong sambungan telefon pintar termasuk sistem navigasi.
Info penting lain adalah seperti berikut:
Kapasiti tangki bahan api 15 liter
Berat - TMax Tech Max (221 kg), TMax ABS (219 kg)
Ada Signal Henti Kecemasan (ESS)
Di Jepun, Yamaha TMmax 560 Tech Max (2025) dijual pada harga 1,644,500 yen (RM 47,470) manakala TMax 560 ABS (2025) tiba pada angka 1,452,000 yen (RM 41,910).
Tiada sebarang maklumat mengenai kehadiran Yamaha TMax (2025) di pasaran Malaysia tetapi melihat kepada popularitinya, ia mungkin tidak lama.










