YAMAHA TMax Tech Max (2025) 'Mendarat' Di MAS25, Apa Yang Berubah?
PELANCARAN
5/12/20251 min read


SELAIN Yamaha XMax (2025), Yamaha Motor Malaysia turut melancarkan penawaran terbaharunya dalam segmen skuter premium, Yamaha TMax Tech Max (2025) di Malaysia Autoshow 2025 (MAS25).
Tidak seperti Yamaha XMax (2025), Yamaha TMax Tech Max (2025) tampil dengan perubahan yang boleh dikatakan besar iaitu termasuk membabitkan sudut rekaan.
Berbeza daripada model terdahulu, perubahan yang berlaku adalah bahagian panel depan Yamaha TMax Tech Max (2025) kini tampil dengan rekaan baharu yang lebih melengkung.
Justeru, ia menggunakan set lampu utama dan lampu siang (DRL) yang berbeza dengan perubahan itu turut didakwa Yamaha berupaya menjadikan skuter itu lebih aerodinamik.
Selain itu, perubahan atau kemas kini lain adalah adalah membabitkan tekstur pelana yang datang dengan material yang berbeza, sistem saluran udara yang dipertingkatkan dan rim aluminium baharu.
Dari sudut elektronik, ciri Kawalan Jelajah atau 'Cruise control' turut dikemas kini dengan kelajuan turut dipaparkan di panel meter, Sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar (TPMS), kemas kini Unit Kawalan Komunikasi (CCU) selain model TMax pertama memperoleh sistem Yamaha Brake Control system (BC) atau lebih dikenali Cornering ABS.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha TMax Tech Max (2025) kekal dengan enjin bersesaran 562 cc, 2 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi Automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah 47.6 Hp @ 7,500 rpm dan tork 55.7 Nm @ 5,250 rpm.
Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Magma Black, Ceramic Grey bersama harga jualan asas RM 75,888 (tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran).
Seperti biasa, Yamaha TMax Tech Max (2025) datang bersama jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
Dan ia hanya akan mula mendarat di pasangan pada penghujung Mei ini.








