YAMAHA TMax Tech Max Dapat Warna Baharu (2024), Harga Kekal RM 74.9k!
TERKINI
2/6/20241 min read
SKUTER maxi yang diberikan julukan 'Ultimate', Yamaha TMax Tech Max diberikan 'kesegaran' oleh Hong Leong Yamaha Motor menerusi penawaran skema warna dan corak grafik baharu bagi versi 2024.
Pilihan warna bagi versi terbaharu yang menggantikan pilihan terdahulu (Dark Petrol dan Power Grey) adalah Dark Magma dan Tech Black.
Lebih menarik, tiada peningkatan harga yang diumumkan oleh pihak HLYM dengan harga skuter berkenaan kekal RM 74,998 (asas), tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Sebagai info, generasi terbaharu Yamaha TMax Tech Max secara rasmi mendarat di pasaran tempatan pada Oktober 2022 dan seperti dijangka, ia laris bagaikan 'pisang goreng panas.'
Tiba sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), Yamaha TMax Tech Max tampil dengan pelbagai ciri menarik antaranya penggunaan panel meter TFT berwarna penuh bersaiz 7 inci lengkap dengan sambungan telefon pintar, aplikasi pemetaan Garmin menerusi Bluetooth, Wifi dan USB.
Dan sebagai varian tertinggi, Yamaha TMax Tech Max turut mendapat beberapa 'jajan' tambahan iaitu visor boleh laras elektrik, sistem 'Cruise control', penamas terotel dan pelana (penunggang).
Selain itu, ia turut dipadankan teknologi Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) dan Accelerator Position Sensor Grip (APSG) untuk prestasi terotel yang lebih lancar.
Mengulas trenkuasa, skuter ini dipadankan dengan enjin bersesaran 562 cc, Parallel-Twin, 4 Lejang, 4 Injap, DOHC yang digandingkan dengan transmisi Automatik V-Belt.
Kuasa yang dihamburkan ialah 47 Hp pada 7,500 rpm dan tork 55.7 Nm pada 5,250 rpm.
Seperti biasa, setiap pembelian akan menerima kunci cakera eksklusfi Yamaha bernilai RM 100.