YAMAHA Tracer Bakal Berubah 'Wajah'? Mirip MT-10, 'Gen' Baharu Diintip Jalani Ujian

TERKINI

10/16/20231 min read

YAMAHA Tracer generasi terbaharu, Yamaha Tracer 9 GT membuat kemunculan global pada November 2020 dan di pasaran antarabangsa, ia sudah pun dipadankan dengan teknologi Kawalan Jelajah 'Adaptif' berpandukan radar.

Dikenali sebagai Yamaha Tracer 9 GT+, model berkenaan begitupun masih belum memasuki pasaran Malaysia.

Tetapi berdasarkan perkembangan terbaharu, motosikal tercanggih Yamaha dalam segmen 'Sport Touring' itu dijangka bakal menerima naik taraf mengujakan pada tahun depan.

Dan ia bukan saja membabitkan peningkatan dari sudut teknologi, namun menariknya turut membabitkan 'penampilan'.

Bukan sekadar khabar angin, begitupun perkembangan itu diperoleh berdasarkan 'bukti' bergambar atau imej intip yang menunjukkan motosikal berkenaan sedang menjalani ujian.

Ia dikongsikan oleh media automotif terkemuka, motorradonline dan meningkatkan debaran, motosikal berkenaan dipenuhi dengan pelekat penyamaran berwarna hitam.

Daripada imej berkenaan, yang turut dikongsikan MotoMalaya, dapat dilihat yang rekaan lampu utama model ujian itu nampak seperti mengikuti 'lenggok' motosikal 'Naked' aras tinggi jenama itu, Yamaha MT-10.

Tetapi kemungkinan untuk Yamaha membangunkan Tracer 10 GT nampak tak begitu tepat kerana model berkenaan masih dipadankan dengan enjin 889 cc CP3 yang digunakan Tracer 9 GT.

Dan berikutan ia 'padat' dengan pelekat penyamaran, turut dijangkan model generasi terbaharu Tracer ini akan mendapat perubahan besar-besaran dari sudut rekaan keseluruhan.

Selain itu, turut dijangkakan adalah perubahan atau naik taraf dari sudut elektronik terutama bagi sistem Kawalan Jelajah Adaptif berpandukan radar serta beberapa lagi ciri.

Tak diketahui apa sebabnya mengapa Yamaha tampak seperti bersunguh-sungguh untuk menaiktaraf Tracer namun pastinya, ia berkait dengan survival model berkenaan untuk terus kekal relevan di pasaran.

Sebagai info, pasaran Malaysia menerima Yamaha Tracer 9 GT pada penghujung tahun 2021 namun ciri ia masih model 'Standard' dan bukannya Tracer 9 GT+ yang lengkap dengan Kawalan Jelajah Adaptif.