YAMAHA XMax 250 (2023) 'Gen' Baru Debut Di Malaysia, Lebih 'X', Panel Meter TFT, Harga RM 23,998 (asas)!

PELANCARAN

7/28/20232 min read

SELEPAS penantian 'panjang', Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), hari ini melancarkan skuter 'Generasi' baharu skuter maha popularnya, Yamaha XMax 250 (2023) yang tiba bersama penawaran harga menarik RM 23,998 (asas).

Yamaha XMax 250 (2023) menjadi dambaan dan ditunggu-tunggu rakyat Malaysia selepas ia membuat penampilan sulung di Indonesia tahun lalu dengan nama Yamaha XMax 250 Connected (2023).

Sekalipun tiba dengan nama sedikit berbeza, Yamaha XMax 250 (2023) di pasaran tempatan adalah versi tertinggi dan lengkap dengan ciri 'Connected' atau turut dikenali 'Tech Max'.

Sebagai model 'Gen' Baru, Yamaha XMax 250 (2023) datang dengan rekaan serba baharu dan lebih 'X' bersama panel badan dan lampu yang lebih 'tajam' dan agresif.

Justeru, rekaan lampu depan dan belakang baharu tampil dengan rekaan berbentuk 'X' ketika dinyalakan manakala posisi lampu signal juga turut berubah di bahagian tepi visor angin.

Selain penampilan yang kini lebih 'kacak', apa yang mencetus keterujaan adalah perubahan di bahagian panel meter dengan versi terbaharu ini dipadankan dengan panel meter TFT berwarna.

Menerusi penggunaan panel TFT berwarna, ia kini mempunyai ciri sambungan ke telefon pintar malah turut mempunyai ciri navigasi Garmin.

Lebih daripada itu, bahagian atas panel tersebut turut memiliki skrin digital LCD yang memaparkan informasi seperti speedometer dan sebagainya.

Sedikit mengecewakan, tiada perubahan berlaku di bahagian trenkuasa dengan Yamaha XMax 250 (2023) kekal dengan enjin bersesaran 249.8 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC, yang digandingkan dengan transmisi automatik V-Belt.

Kuasa yang dihasilkan adalah 22.5 Hp pada 7,000 rpm dengan tork 24.3 Nm pada 5,500 rpm.

Sistem suspensi yang digunakan juga tidak berubah iaitu fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang) dengan sistem brek menggunakan cakera depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Dan seperti versi terdahulu, ciri-ciri menarik lain adalah seperti penggunaan sistem lampu LED penuh, Sistem Kunci Pintar, Soket Pengecas, bar hendal boleh dan visor angin boleh laras, Lampu Kecemasan dan Kawalan Traksi.

Informasi penting lain adalah seperti penggunaan set roda 120/70-15 (depan) 140/70-14 (belakang), ketinggian pelana 795 mm, ruang simpanan bawah pelana berkapasiti 44.9 liter, tangki bahan api 13 liter dan berat 181 kg.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu:

  • Icon Blue (rim biru)

  • Max Silver (rim hitam)

Kepada yang berminat, Yamaha XMax 250 (2023) tersedia pada 31 Julai 2023 di semua cawangan pengedar Yamaha Big Bikes seluruh negara. Dan setiap pembelian mendapat kunci cakera keselamatan dari Yamaha.