YAMAHA XMax, MT-09 Menang Anugerah Red Dot 2024

TERKINI

5/3/20241 min read

SKUTER popular Yamaha XMax dan model 'Naked' berprestasi Yamaha MT-09 (2024), baru-baru ini dinamakan sebagai pemenang Anugerah Red Dot 2024 dalam kategori Reka Bentuk.

Bagi Yamaha Motor, ini adalah kemenangan buat tahun ke-13 berturut-turut diraih pengeluar Jepun itu pada anugerah berprestij membabitkan reka bentuk berpangkalan di Jerman itu sejak 2012.

Sejak diperkenalkan pada 2006, Yamaha XMax sememangnya berjaya mencipta legasi sebagai salah satu model skuter paling popular di Eropah.

Dan antara ciri-ciri menarik generasi terbaharu Yamaha XMax - yang sudah berada di Malaysia - dan berjaya memihak hati barisan juri di Red Dot adalah rekaannya yang mengaitkan hubungan antara manusia dan jentera, ciri-ciri dinamik, kemudahan dan keselesaan.

Menurut anugerah berkenaan, sistem suspensi Yamaha XMax dan unit trenkuasanya cukup 'serasi' dan berjaya mengetengahkan elemen sport yang memberikan rasa unik dan menarik.

Dari segi kemudahan, kecekapan ruang di bawah pelana yang direka semula secara menyeluruh dan masih mampu mengisi dua buat helmet, rekaan pelana yang menambah baik ruang kaki turut menjadi antara 'kekuatan' skuter ini.

Sementara itu, rekaan generasi terbaharu atau keempat Yamaha MT-09 dikatakan membenarkan penunggang menikmati motosikal berkenaan dengan 'bebas' berbanding generasi sebelum ini.

Menurut anugerah berkenaan, Yamaha memberikan perincian dalam gabungan rekaan dan teknologi yang didakwa lebih 'dekat' dengan penunggang, daripada suis bar hendal, gril akustik dan rekaan belakang.

Sebagai info, generasi terbaharu Yamaha XMax sudah pun mendarat di pasaran Malaysia pada tahun lalu namun generasi terbaharu Yamaha MT-09 dijangka tiba pada tahun ini.