YAMAHA Y16ZR ABS (2025) Kini Dalam 3 Warna Baharu, Harga Asas Kekal RM 11.4k!

TERKINI

4/8/20251 min read

YAMAHA Motor Malaysia, hari ini mengumumkan kemas kini 'kosmetik' terhadap motosikal 'kapcai supernya', Yamaha Y16ZR ABS (2025) menerusi pilihan warna baharu yang katanya lebih 'eksotik'.

Tiga pilihan warna baharu itu adalah Fiery Red, Desert Steel dan Emerald Pearl.

Dan menariknya, harga asas yang disyorkan oleh pengeluar kekal seperti ketika Yamaha Y16ZR ABS dilancarkan pada tahun lalu, RM 11,398.

Seperti biasa, harga itu tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran serta belum 'masuk' kedai.

Seperti namanya, Yamaha Y16ZR ABS (2025) dipadankan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) setu saluran bersama kaliper bersaiz 267 mm dengan kaliper 2 piston.

Sebagai info, saiz cakera bagi versi tiada ABS adalah 245 mm.

Mengulas ringkas trenkuasa, Yamaha Y16ZR ABS (2025) dipadankan dengan enjin 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA).

Menggunakan kotak gear 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac Assist & Slipper, kuasa yang dihamburkan adalah 17.7 Hp pada 9,500 rpm dan tork 14.4 Nm pada 8,000 rpm.

Ciri-ciri menarik adalah seperti penggunaan sistem Kunci Pintar, panel meter digital LCD, soket pengecas 12V, tangki bahan api 5.4 liter.

Kepada yang berminat, Yamaha Y16ZR ABS (2025) akan mula berada di cawangan pengedar sah Yamaha seluruh Malaysia bermula hari ini.

Setiap pembelian akan ditawarkan dengan jaminan pengeluar 20,000 km perjalanan atau 2 tahun (mana tiba dahulu). Turut disertakan dengan pembelian adalah kunci cakera keselamatan Yamaha berharga RM 100.