YAMAHA Y16ZR Edisi Terhad 6MRO (2024) Dilancar, Rai Unit Ke-6 Juta HLYM, RM 13.7k!

PELANCARAN

11/8/20241 min read

SEBAGAI cara untuk meraikan unit ke-6 juta daripada kilang pengeluaran Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) di Malaysia, syarikat itu melancarkan model istimewa Yamaha Y16ZR Edisi Terhad 6MRO (2024).

Dijual pada tanda harga RM 13,668 (asas), tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran, hanya 3,000 unit dihasilkan dan datang dengan pelbagai barangan menarik bersama pembeliannya.

Sebagai permulaan, tiada perubahan dari sudut spesifikasi trenkuasa mahupun rekaan terhadap Yamaha Y16ZR Edisi Terhad 6MRO (2024).

Tetapi keistimewaan Yamaha Y16ZR Edisi Terhad 6MRO (2024) terletak pada penampilannya terutama di bahagian corak grafik dan skema warna sekalipun ia tampak mirip liveri pasukan VR46 di MotoGP.

Dijangka menjadi buruan 'geng-geng' pengumpul, ia tampil dengan corak grafik dan warna yang berbeza untuk panel kiri dan kanan serta 'emblem' Y16ZR yang 'Glow in the dark'.

Untuk meningkatkan darjah eksklusifnya, setiap unit juga didatangkan dengan nombor siri yang unik '6MRO'.

Dan mungkin paling menarik adalah setiap pembelian juga turut datang dengan beberapa barangan eksklusif Yamaha seperti helmet Tekhne, 'diecast' Yamaha Y16ZR, plat istimewa, jam tangan digital G-Shock Y16ZR.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Dato’ Prof. Dr. Jim Khor berkata syarikat itu berbangga dengan pencapaian itu yang hanya diperoleh selepas 37 bulan unit ke-5 juta dilancarkan sebelum ini.

Kepada yang berminat, Yamaha Y16ZR Edisi Terhad 6MRO (2024) akan mula tiba di cawangan pengedar sah Yamaha Motor Malaysia bermula 1 Disember ini.