YAMAHA YZF-R15M (2023) Monster Energy 'Terbaharu' Diperkenal Di Malaysia, Terhad 600 Unit, Asas RM 15k!

TERKINI

10/13/20231 min read

YAMAHA Motor Malaysia mengemaskini penawaran model 'Sportbike' aras mula popularnya, Yamaha YZF-R15M (2023) dengan memperkenalkan pilihan warna serta liveri Monster Energy terbaharu dan uniknya, datang dalam unit terhad.

Tiba dalam skema warna dan corak grafik Monster Energy yang sinonim dengan pasukan Yamaha di MotoGP pada musim 2023, kepada yang berminat, anda perlu pantas kerana hanya 600 unit tersedia di pasaran Malaysia.

Dan harga jualan yang diumumkan adalah RM 14,998 asas (Tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran) dan menyaksikan tiada perubahan membabitkan harga berlaku.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dalam satu kenyataan turut mengumumkan pilihan warna terdahulu iaitu 'Signature M' dikekalkan.

Tiada perubahan dari sudut trenkuasa dengan Yamaha YZF-R15M (2023) kekal dengan enjin bersesaran 155 cc dengan teknologi VVA, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 18.4 Hp pada 10,000 rpm dan tork maksimum 14.2 Nm pada 7,500 rpm.

Tampil dengan rekaan yang cukup menarik, tetapi ia bukan satu-satunya kelebihan Yamaha YZF-R15M V4 ini kerana ia turut datang dengan pelbagai ciri antaranya sambungan Y-Connect, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) serta klac Assist & Slipper.

Lebih menari, motosikal ini turut dilengkapi dengan pelbagai lagi 'jajan' menarik yang kebiasaanya dipadankan kepada 'Sportbike' berkuasa tinggi seperti sistem 'Quick Shifter' dan Sistem Kawalan Traksi (TCS).

Kepada yang berminat, Yamaha YZF-R15M (2023) Monster Energy mula tiba di bilik pameran cawangan pengedar sah HLYM seluruh negara bermula hari ini dan setiap pembelian akan memperoleh kunci cakera keselamatan Yamaha bernilai RM 100.