YAMAHA YZF-R2 Debut Di India, Enjin 204 cc!
Tampil dengan rekaan yang agresif dan segar, tarikan utama Yamaha YZF-R2 (2026) pastinya terarah kepada nadi trenkuasa baharu yang memacunya iaitu enjin bersesaran 204 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejukan Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC
TERKINI
8/28/20261 min read


PENGELUAR motosikal terkemuka Jepun, Yamaha terus memperluaskan penawarannya dalam siri 'Sportbike' YZF apabila melancarkan model serba baharu, Yamaha YZF-R2 (2026) di pasaran India.
Tampil dengan rekaan yang agresif dan segar, tarikan utama Yamaha YZF-R2 (2026) pastinya terarah kepada nadi trenkuasa baharu yang memacunya iaitu enjin bersesaran 204 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejukan Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.
Ia kemudian dipadankan bersama kotak gear klac manual 6 kelajuan dengan angka kuasa dihamburkan adalah 26 Hp pada 10,000 rpm, manakala tork 19.1 Nm pada 8,000 rpm.
Selain rekaan yang menarik, apa yang mengujakan adalah Yamaha YZF-R2 (2026) turut pelbagai disuntik teknologi canggih yang kebiasaan hanya ada pada motosikal berkuasa tinggi.
Antaranya adalah mod tunggangan (3) Street, Sport, dan Rain dan menariknya, ia turut hadir dengan mod Custom yang membolehkan penunggang membuat tetapan elektronik mengikut gaya dan cita rasa tunggangan peribadi.
Segala profil tunggangan dan informasi jentera boleh diakses dengan jelas menerusi paparan meter TFT berwarna bersaiz 5-inci, yang turut menyokong kemudahan sambungan ke telefon pintar melalui aplikasi pintar, Y-Connect.
Aspek pengendalian, Yamaha YZF-R2 (2026) dibangunkan di atas casis serba baharu jenis high-tensile steel diamond dan penggunaan kerangka ini yang dipadankan bersama lengan ayun aluminium menjadikannya 2.8 kg lebih ringan berbanding model YZF-R15.
Dengan berat keseluruhan 149 kg, ia sekaligus menyumbang kepada nisbah kuasa kepada berat yang sangat cemerlang pada angka 5.62kg/Hp.
Untuk pasaran India, 3 varian tersedia dengan varian teratas Yamaha YZF-R2M, ia didatangkan standard dengan kemudahan sistem tanpa kunci (keyless) serta penukaran gear pantas, Yamaha Quick Shifter (atas dan bawah).
Tugas membrek digalas oleh brek cakera (depan/belakang) yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
Dalam pada itu, kemunculan enjin 204 cc baharu ini mula memutikkan persoalan dalam kalangan peminat dua roda khususnya di pasaran yang didominasi jentera kapcai seperti Malaysia.
Adakah kehadiran blok trenkuasa ini bakal membuka potensi dan menjadi penanda aras kepada pembangunan generasi 'Supermoped' masa depan daripada Yamaha? Ia satu kemungkinan yang pastinya ditunggu-tunggu oleh peminatnya.



