YAMAHA YZF-R25 (2025) Generasi Baharu Debut Di Jepun, Tiba Di Malaysia Tahun Ini?
TERKINI
3/25/20251 min read


YAMAHA Motor Japan mengumumkan kehadiran dua model generasi baharu yang boleh dianggap 'kembar' Yamaha YZF-R3 dan Yamaha YZF-R25 (2025), baru-baru ini di pasaran negara berkenaan.
Ketika Yamaha YZF-R3 bukan sesuatu yang baharu dan sudah pun membuat kemunculan di Eropah pada tahun lalu, apa yang menarik adalah ini adalah kali pertama Yamaha YZF-R25 (2025), model yang bakal dijual di beberapa negara lain termasuk Malaysia didedahkan.
Seperti Yamaha YZF-R3, Yamaha YZF-R25 (2025) tampil dengan rekaan serba baharu yang sama, lebih agresif dan dikatakan lebih ergonomik.
Dan menariknya, ia turut memiliki 'Winglet' dan 'tail wing' yang bukan saja menambahkan lagi gaya 'garang' motosikal berkenaan yang mengikuti 'lengggok' abang-abang besarnya seperti Yamaha R1 dan R9.
Tiga pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Jepun iaitu:
Blue
Matte Dark Grey
Matte Pearl White
Tetapi sedikit mengecewakan, brosur yang dikeluarkan Yamaha Motor Japan menyatakan ia masih menggunakan panel meter LCD tetapi memiliki ciri sambungan ke telefon pintar menerusi Y-Connect.
Selain itu, sekalipun panel LCD memaparkan ikon 'Quickshifter', sistem berkenaan adalah pilihan dan tidak datang secara standard.
Dari sudut trenkuasa, Yamaha YZF-R25 dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc, 2 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Assist & Slipper'.
Kuasa yang dihamburkan adalah 35 PS pada 10,750 rpm dan tork 23 Nm pada 9,000 rpm.
Sebagai perbandingan, Yamaha R3 menghasilkan kuasa 42 PS dan tork 29.5 Nm.
Di bahagian suspensi, Yamaha YZF-R25 menggunakan fork teleskopik jenis terbalik (USD) di bahagian dengan dan penyerap hentak tungga (belakang).
Sistem brek pula menggunakan brek cakera hidraulik tunggal (depan/belakang) dan lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Info penting lain adalah seperti berikut:
Tinggi pelana 780 mm
Jarak lega bumi 160 mm
Berat 169 kg
Tangki bahan api 14 liter
Set roda 110/70-17 (depan), 140/70-17 (belakang)
Di Jepun, Yamaha YZF-R25 dijual pada harga asas 690,800 yen (RM).
Setakat ini, pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) masih memberikan sebarang maklumat mengenai kehadiran Yamaha YZF-R25 di pasaran tempatan tetapi berdasarkan popularitinya, ia dijangka tidak mengambil masa lama.




















