YAMAHA YZF-R25 (2025) Generasi Baharu Lancar Di Seberang, RM 20.5k!
TERKINI
1/22/20251 min read


YAMAHA memperkenalkan generasi terbaharu 'Sportbike' Yamaha YZF-R3 (2025) pada Oktober tahun lalu di Eropah dan model 'kembarnya, Yamaha YZF-R25 (2025) akhirnya membuat debut di Indonesia.
Menjadi antara model popular di seberang, Yamaha R25 seperti diketahui adalah model handalan Yamaha di Malaysia dalam segmen 'Sportbike' suku liter.
Dan seperti dijangka, ia tidak menunggu masa lama untuk diperkenalkan di Indonesia yang turut menjadi model debut global untuk R25.
Sebagai model generasi baharu, antara perubahan utama yang dibuat adalah membabitkan rekaan dengan Yamaha R25 (2025) kini hadir dengan penampilan lebih segar mengikuti model-model terbaharu seperti Yamaha R9.
Justeru, lampu utamanya kini diposisinya di bahagian tengah dan diapit dua lampu siang (DRL) yang menjadi karakter model berkenaan.
Turut mengalami perubahan adalah di bahagian belakang dengan bahagian 'fairing' nampak lebih padat.
Mengulas trenkuasa, Yamaha YZF-R25 (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 250 cc, 2 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa dihamburkan adalah sebesar 35.5 Hp pada 12,000 rpm dan tork 23.6 Nm pada 10,000 rpm.
Informasi penting lain adalah seperti berikut:
Jarak lega bumi 160 mm
Tinggi pelana 780 mm
Berat 166 kg
Tangki bahan api 14 liter
Set roda 110/70-17 (depan), 140/70-17 (belakang)
Sistem lampu LED penuh
Pengecas USB
Di bahagian suspensi, motosikal ini dipadankan dengan fork jenis terbaik (USD) depan dan penyerap hentak tunggal (belakang).
Sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 298 mm dengan kaliper 2 Piston (depan) dan cakera tunggal 220 mm dengan kaliper 1 Piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Turut baharu adalah panel meter digital LCD yang kini memiliki ciri sambungan ke telefon pintar Y-Connect tetapi ia masih belum menggunakan panel TFT berwarna.
Dari sudut penawaran, dua pilihan warna ditawarkan di pasaran Indonesia iaitu:
Racing Blue
Metallic Black
Dan harga yang diumumkan adalah Rp 75 juta (RM 20.5k).
Setakat ini, tidak diketahui bila pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mahu membawa masuk Yamaha R25 ke pasaran tempatan tetapi melihat kepada popularitinya, ia mungkin tidak lama.








