YAMAHA YZF-R9 Lancar Sempena GP Malaysia 2026?

Yamaha Motor Malaysia seperti mengesahkan perkara itu apabila memaparkan satu video pendek yang menampakkan siluet jentera 'Sportbike' mirip Yamaha YZF-R9 yang diselitkan pada penghujung video rangkuman Karnival GenBlu 2026 yang baru disiarkan

TERKINI

8/24/20261 min read

TEKA-teki mengenai kehadiran jentera 'Sportbike' terbaharu, Yamaha YZF-R9 ke pasaran tempatan nampaknya bakal terjawab apabila model yang dinanti-nantikan itu dijangka dilancarkan secara rasmi sempena penganjuran Grand Prix (GP) Malaysia 2026.

Perkara itu secara tidak langsung disahkan oleh Yamaha Motor Malaysia menerusi satu video pendek yang diselitkan pada penghujung video rangkuman Karnival GenBlu 2026 yang baru disiarkan.

Awal bulan ini, peminat dua roda tempatan dihidangkan dengan imej acah memaparkan siluet motosikal berkuasa tinggi bergaya 'Sportbike' ketika kempen promosi karnival berkenaan.

Begitupun, acara pelancaran pada karnival itu sebaliknya hanya membabitkan pengenalan tiga model berbeza iaitu skuter Yamaha XMax 300 Tech Max, motosikal gaya retro XSR155, dan 'Supermoped' Yamaha Y16ZR-R.

Jika dilihat pada penutup video rangkuman berkenaan, ia jelas memaparkan rekaan kokpit serta lampu hadapan sebuah jentera yang amat sinonim dengan rupa bentuk Yamaha R9.

Lebih mengujakan, paparan video tersebut secara terang-terangan memberi bayangan tarikh pelancarannya yang bakal disekalikan dengan kehangatan minggu perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun ini.

Ulas ringkas spesifikasi mekanikal Yamaha R9, ia tampil dengan rekaan yang menarik bersama prestasi yang agresif hasil padanan platform enjin CP3 890 cc, 3 Silinder, trenkuasa sama memacu model naked popular, Yamaha MT-09.

Tetapi bagi menyesuaikannya dengan karakter sebuah jentera sportbike, ia diberikan talaan Unit Kawalan Enjin (ECU) yang berbeza serta nisbah gear yang lebih tinggi.

Hasilnya, Yamaha R9 mampu menghamburkan kuasa mencecah 118 Hp pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.

Daya tarikan paling utama Yamaha R9 pastinya terarah kepada pakej kelengkapan elektronik kelas tinggi yang menakjubkan antaranya disokong oleh Unit Pengukuran Inersia (IMU) 6-Paksi yang menguruskan Sistem Kawalan Cengkaman, Kawalan Gelinciran, dan Kawalan Brek secara komprehensif.

Bagi menjanjikan kepuasan tunggangan yang optimum, ia didatangkan dengan tiga mod tunggangan (Sport, Street, dan Rain), dua mod Kustom, serta empat mod khusus untuk kegunaan litar (Track).

Bagi melengkapkan DNA perlumbaannya, jentera ini turut dibekalkan dengan empat mod agihan kuasa, Kawalan Angkatan (Lift Control) dan Kawalan Pelancaran (Launch Control), sekali gus menjadikannya pencabar paling digeruni dalam kelas pertengahan.