ZAQHWAN Harap Momentum Dapat Diteruskan Di Assen, Damok Optimis!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/10/20251 min read

PUSINGAN tiga Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) yang berlangsung di Assen, Belanda hujung minggu ini memberi peluang buat pelumba WorldSBK negara, Mohd Zaqhwan Zaidi untuk meneruskan kemajuannya di kejuaraan berkenaan.

Seperti diketahui, pasukan PETRONAS MIE Honda Racing itu berdepan detik mengecewakan pada Pusingan pembukaan di Australia sebelum menunjukkan peningkatan pada Pusingan kedua di Portimao, Portugal, hujung bulan lalu.

Aksi di Portimao menyaksikan Zaqhwan buat pertama kali bersaing di atas litar bersama jaguh-jaguh dunia selepas tidak layak untuk berlumba di Phillip Island susulan catatan masa yang dilakukannya tidak melepasi had kelayakan ditetapkan pada kejuaraan itu.

Di Portimao, pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu hampir mengutip mata kejuaraan pertamanya di WorldSBK sebelum terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 pada Perlumbaan 2.

Pada Perlumbaan 1, juara Asia dua kali itu mengalami masalah mekanikal diikuti tempat ke-21 Perlumbaan Superpole.

Tidak pernah berlumba di Assen sebelum ini, Zaqhwan sedar ia adalah pembelajaran baharu buatnya di mana proses penyesuaian diri perlu dilakukan dengan secepat mungkin.

“Saya rasa kami menunjukkan kemajuan yang baik di Portimao berbanding pusingan pertama di Australia dan saya berharap kami dapat meneruskan momentum ini serta terus meningkat secara berperingkat pada pusingan ketiga ini. Jadi, saya benar-benar tidak sabar untuk menantikan perlumbaan ini."

Dalam pada itu, pelumba negara dalam saingan WorldSSP, Syarifuddin Azman berdepan sedikit cabaran di Assen berikutan masalah kecederaan yang dihadapinya.

Kata pelumba yang lebih dikenali sebagai Damok itu, dia berdepan isu yang sering menghantui para pelumba iaitu masalah ‘arm pump’ ketika di Portugal tetapi ia sudah pun ditangani menerusi rawatan fisioterapi.

“Saya sudah mendapatkan rawatan sejak pusingan Portimao kerana mengalami sedikit masalah 'arm pump' ketika perlumbaan. Bagaimanapun, saya kini dalam keadaan baik menjelang pusingan ketiga ini," kata Damok.

“Saya mengenali litar Assen dan tahu ia agak mencabar dengan beberapa selekoh berkelajuan tinggi. Saya juga tahu keadaan cuaca akan menjadi faktor, tetapi saya tidak kisah sekiranya hujan kerana kami akan memberikan yang terbaik dalam apa juga keadaan,” katanya.