ZAQHWAN Mahu Jadikan Portimao Medan Kebangkitan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/27/20251 min read

PUSINGAN 2 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 yang berlangsung di Portimao, Portugal, minggu ini diharap menjadi medan kebangkitan oleh pelumba WorldSBK negara, Mohd Zaqhwan Zaidi.

Zaqhwan, 29 yang bakal menyambut Lebaran pada tahun ini di perantauan mengharungi permulaan mengecewakan pada pusingan pembuka tirai WorldSBK di Phillip Island, Australia awal bulan lalu susulan catatan masa dilakukannya tidak melepasi had kelayakan untuk berlumba.

Apa yang berlaku kepada bekas pelumba Moto2 itu pantas mendapat reaksi pelbagai pihak yang turut mempersoal pembabitan syarikat petroleum gergasi negara, PETRONAS terhadap pasukan disertai Zaqhwan, PETRONAS MIE Honda Racing.

Bertekad untuk menjadikan pengalaman itu sebagai pengajaran, pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu bertekad untuk bangkit bermula di Algarve lebih-lebih lagi selepas turut memperoleh ujian yang positif di litar sama minggu lalu.

"Sudah tentu saya akan cuba memberikan yang terbaik dan sesuatu yang hebat untuk kembali ke litar secepat mungkin selepas menjalani ujian," kata Zaqhwan. "Perasaan saya terhadap jentera sudah semakin baik selepas ujian dan merasakan ia adalah pengalaman yang positif.

"Jadi harapnya saya boleh mengambil satu lagi langkah pada minggu ini. Kita lihat apa yang boleh kami lakukan."

Zaqhwan pada pusingan di Australia dihimpit pelbagai masalah termasuk imigresen yang menyebabkannya tidak dapat menjalani ujian pra-musim terakhir selain turut dikatakan tidak serasi dengan ketua krew pasukannya.

Sebagai rekod, juara Asia dua kali itu menyertai PETRONAS MIE Honda Racing pada musim ini bagi menggantikan seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin.