ZAQHWAN Zaidi, Damok Sertai PETRONAS MIE Racing Honda Di WSBK
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/10/20251 min read


PASUKAN PETRONAS MIE Racing Honda merombak barisan pelumbanya bagi kempen WSBK 2025 menerusi kehadiran dua pelumba baharu - Mohd Zaqhwan Zaidi dan Syarifuddin Azman.
Kehadiran bekas juara Asia dua kali, Zaqhwan menyaksikan pasukan itu menyingkirkan seorang lagi pelumba negara Adam Norrodin dalam kelas perdana WorldSBK.
Manakala Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok dan pernah beraksi di perlumbaan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia menggantikan Khairul Idham Pawi dalam kategori WorldSSP.
Selain itu, pasukan itu turut mengekalkan dua pelumbanya, Tarran Mackenzie dari Great Britain (WorldSBK) dan pelumba Jepun, Kaito Toba (WorldSSP) dan kekal menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R dan Honda CBR600RR.
Zaqhwan mengakui cukup teruja dengan penampilannya di WorldSBK pada musim ini dan sasarannya adalah untuk mengambil sebanyak mungkin pengalaman dan berusaha sehingga hadnya.
"Ia pasti tidak akan mudah, kerana ini adalah kategori yang amat kompetitif tetapi saya menerima cabaran ini dan berharap saya dapat mencapai sasaran saya dan keputusan yang baik," kata Zaqhwan.
Damok dalam pada itu berkata dia akan bekerja sekeras mungkin untuk mendapatkan keserasian yang baik terhadap jentera dan apa yang diharapkannya adalah cuba untuk mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman.
"Saya akan cuba untuk memahami di mana dan bagaimana untuk meningkat, perlumbaan demi perlumbaan dan akan bekerja sekeras mungkin.
"Saya rasa saya bersedia dan amat teruja dapat berlumba dengan jentera ini. Ia adalah peluang yang hebat bagi saya dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan, Honda dan PETRONAS atas peluang ini," kata Damok.
Sebagai info, Adam pada musim lalu menamatkan saingan WorldSBK di kedudukan ke-29 tanpa sebarang mata selepas dipalit pelbagai siri kecederaan manakala Khairul Idham di tangga ke-37 dengan mengumpul tiga mata di WorldSSP.
