ZAQHWAN Zaidi Menang Perlumbaan 1 MSBK1000 Penuh 'Drama'
Kemenangan Zaqhwan yang menunggang jentera Honda itu hadir menerusi perlumbaan yang cukup dramatik dalam keadaan permukaan litar separa basah berikutan hujan lebat yang melanda litar sebelum perlumbaan bermula
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/2/20261 min read


PELUMBA yang beraksi tanpa pasukan rasmi, Zaqhwan Zaidi melakar kejutan apabila menjuarai Perlumbaan 1 kelas perdana MSBK1000 pada Pusingan 1 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2026, hari ini.
Kemenangan pelumba yang menunggang jentera Honda itu hadir menerusi perlumbaan yang cukup dramatik dalam keadaan permukaan litar separa basah berikutan hujan lebat yang melanda litar sebelum perlumbaan bermula.
Bermula dari petak utama, Zaqhwan berdepan kesukaran di awal perlumbaan dengan kedudukan pendahulu saling bertukar tangan dengan pelumba AMI Suzuki Motorsports, Azlan Shah Kamaruzaman mencipta kedudukan dengan memimpin sebahagian besar perlumbaan.
Berbaki beberapa pusingan, saingan makin sengit apabila pelumba pasukan Astra Honda Racing Team dari Indonesia, Mohammad Adenantra Putra berjaya merampas kedudukan pendahulu diekori rapat oleh rakan sepasukan Azlan, Adam Norrodin di tempat kedua.
Bagaimanapun pada pusingan terakhir, nasib tidak menyebelahi Adam apabila dia terjatuh di selekoh pertama. Drama berterusan hanya beberapa selekoh kemudian Adenantra turut terjatuh.
Situasi itu memberi peluang buat tiga pelumba di belakang iaitu Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia), Azlan Shah dan Zaqhwan yang kemudian menobatkan Zaqhwan sebagai juara.
Kasma terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat kedua, manakala Azlan Shah melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Mengulas mengenai kemenangan itu, Zaqhwan mengakui dia pada awalnya tidak meletakkan harapan yang tinggi selepas bergelut pada awal perlumbaan.
"Sejujurnya, pada pusingan pertama saya rasa kurang yakin dengan keadaan litar. Perasaan saya berbelah bahagi (50-50) dan terfikir mungkin hanya mampu menamatkan saingan di sekitar tempat kelima kerana amat sukar untuk mengejar kelompok di depan.
"Tetapi pada empat pusingan terakhir, keadaan menjadi semakin baik. Saya merapatkan jurang sedikit demi sedikit dan mula percaya saya mampu bersaing untuk merebut podium.
"Saya memilih untuk kekal sabar, memerhatikan kesilapan lawan, dan pada pusingan terakhir, saya terus mengambil peluang yang terhidang," kata Zaqhwan.

