ZEEHO AE8 S+ (2025) Dilancarkan, Skuter Elektrik Premium, RM 18.8k!

PELANCARAN

12/27/20242 min read

CFMOTO Malaysia terus meningkatkan penawarannya dalam segmen skuter elektrik menerusi sub-jenamanya ZEEHO di pasaran tempatan dengan melancarkan ZEEHO AE8 S+ (2025).

Kepada yang tak tahu, ZEEHO AE8 S+ (2025) adalah model skuter elektrik kedua daripada ZEEHO yang sebelum ini menyertai segmen berkenaan menerusi ZEEHO AE4 (2024).

Tetapi berbeza dengan ZEEHO AE4 (2024) yang diposisikan dalam segmen 'marhaen', ZEEHO AE8 S+ (2025) dijual pada harga jauh lebih tinggi iaitu RM 18,888.

Tetapi jangan bimbang, menurut CFMOTO Malaysia, harga yang diumumkan itu belum termasuk Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik MARiiCas.

Dijadual mula berada di pasaran pada awal tahun depan, dua pilihan warna ditawarkan iaitu Eclipse Silver dan Starship Silver.

Kepada yang mungkin ada yang 'terkejut' dengan harganya, tetapi menurut CFMOTO Malaysia, ZEEHO AE8 S+ (2025) adalah skuter elektrik yang diposisi dalam segmen premium dan dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik.

Bermula daripada sudut rekaan, ZEEHO AE8 S+ (2025) jelas tampil dengan rekaan futuristik dan yang penting, tampak mewah.

Sekalipun masih kekal dengan skuter untuk penggunaan dalam bandar, antara ciri premium yang dipadankan adalah sistem Kawalan Jelajah (cruise control) selain mempunyai sistem brek yang menggunakan kaliper daripada Brembo.

Sebagai skuter moden dan padat teknologi terkini, ZEEHO AE8 S+ (2025) menggunakan kad NFC untuk dihidupkan.

Turut dipadankan dengan lampu utama LED dengan ciri adaptif, ia boleh menyala atau padam secara automatik mengikut pencahayaan persekitaran dan seperti biasa, menggunakan panel meter jenis TFT berwarna 5 inci lengkap dengan ciri sambungan ke telefon pintar.

Di bahagian trenkuasa, ZEEHO AE8 S+ (2025) dipacu motor elektrik berkuasa 12.5 kW atau setara 16.8 Hp dengan tork sebesar 218 Nm.

Dengan kuasa sebesar itu, ia boleh dikatakan setanding dengan skuter yang dijana enjin bersesaran 150 cc tetapi apa yang menarik, kuasa pecutan menyamai skuter dengan enjin bersesaran 250 cc.

Dari sudut kelajuan, ZEEHO AE8 S+ (2025) mampu dipecut dari 0-50 km/j dengan masa 2.6 saat dengan kelajuan maksimum melebihi 100 km/j.

Dan menariknya, tidak seperti skuter konvensional lain, ZEEHO AE8 S+ (2025) tampil dengan rekaan tali sawat yang terdedah.

Mempunyai tiga mod tunggangan iaitu ECO, Street dan Sport, ia dijana dua bateri 69V 27Ah jenis litium-ion berprestasi tinggi dan mampu mengharungi jarak tunggangan maksimum 100 km.

Di bahagian suspensi, skuter ini menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar dengan ciri pelarasan pre-load (belakang).

Seperti dinyatakan lebih awal, sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 220 mm dengan kaliper Brembo 2 piston (depan) dan kaliper 190 mm piston tunggal (belakang). Set roda adalah 100/80-12 (depan) dan 120/70-12 (belakang).

Ciri-ciri menarik lain termasuklah ia mempunyai soket pengecas Type-C dan Type-A. Info penting lain adalah seperti ketinggian pelana 785 mm manakala berat kasar adalah 133 kg.

Selepas ZEEHO AE8 S+ (2025), CFMOTO Malaysia dijadualkan akan membawa masuk beberapa lagi model skuter elektrik pada tahun 2025.