ZK Akui Serba Salah Nak Rai Kejayaan Hakim Danish, Mohon Netizen Henti 'Tembak' KBS

Mengeruhkan keadaan, hantaran ucapan tahniah daripada KBS ketika Hakim Danish menaiki podium tempat ke-3 di Mugello, Itali disalah tafsir apabila netizen mengecop kementerian itu sebagai cuba 'tumpang sensasi' atau sekadar 'claim' kejayaan pelumba itu selepas kemenangan diraih

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/2/20261 min read

KEJAYAAN pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menawan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Republik Czech, baru-baru ini dirai semua pihak namun lain pula ceritanya apabila ruang media sosial 'panas' dengan kecaman bertubi-tubi terhadap Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketika ditemui, Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mendedahkan dia sebenarnya merasa serba salah atas apa yang berlaku kepada kementerian itu.

Kepada yang tidak tahu, kecaman ke atas KBS meletus susulan kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berhubung ketiadaan peruntukan buat Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit MT Helmets-MSi dan program ZK Racing musim ini tular di media sosial.

Mengeruhkan keadaan, hantaran ucapan tahniah daripada KBS ketika Hakim Danish menaiki podium tempat ke-3 di Mugello, Itali disalah tafsir apabila netizen mengecop kementerian itu sebagai cuba 'tumpang sensasi' atau sekadar 'claim' kejayaan pelumba itu selepas kemenangan diraih.

Enggan melihat KBS terus menjadi mangsa keadaan, Zulfahmi tampil menjelaskan perkara itu dan berkata kementeriaan itu bukanlah pihak yang baru muncul waktu pelumba menang, sebaliknya mereka adalah tulang belakang yang menyokong program pembangunan bakat muda sejak dari awal lagi.

"Saya percaya selepas kemenangan Hakim Danish banyak perkara kurang baik berlaku terhadap KBS dan sudah semestinya saya berasa tidak senang, terutama dengan beberapa perkara yang keluar.

"Saya sendiri pun tak tahu nak meraikan kemenangan itu macam mana sebab dalam masa yang sama KBS berada dalam posisi yang tidak baik.

"Bagaimana pun saya nak terangkan dekat sini, memang KBS bersama dengan program ini dari hari pertama bersama dengan SIC (Litar Antarabangsa Sepang)," kata bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara itu.