ZK Bangga Kematangan Hakim Danish Di Sepang

Meskipun Hakim Danish terlepas peluang keemasan untuk menaiki podium di laman sendiri, Zulfahmi menyifatkan pelumba berusia 19 tahun itu sudah membuktikan kemampuan sebenar selepas bergelut dengan prestasi yang kurang menentu sejak beberapa bulan kebelakangan ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/1/20261 min read

PENGURUS ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin menzahirkan rasa bangganya terhadap pelumba negara, Hakim Danish Ramli, atas tunggangan matang dan cemerlangnya yang berjaya menamatkan perlumbaan kelas Moto3 di kedudukan ke-4 pada Grand Prix (GP) Malaysia 2026.

Walaupun terlepas peluang keemasan untuk menaiki podium di laman sendiri, Zulfahmi menyifatkan pelumba berusia 19 tahun itu sudah membuktikan kemampuan sebenar selepas bergelut dengan prestasi yang kurang menentu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Lebih manis, Hakim Danish mempamerkan mentaliti juara apabila berjaya menyerap tekanan luar biasa beraksi di hadapan ribuan penyokong tempatan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

"Dia mengawal emosinya dengan sangat baik dan sangat kompetitif sepanjang hujung minggu ini," kata Zulfahmi.

"Sudah tentu ia akan menjadi lebih hebat jika dia menamatkan perlumbaan di atas podium, tetapi dia tidak dapat memintas pelumba di hadapannya pada selekoh terakhir. Namun, saya tetap sangat bangga dengannya dan saya pasti semua peminat yang hadir menyokongnya turut merasai hal yang sama."

Beraksi bersama pasukan Aeon Credit MT Helmets-MSi, Hakim Danish memulakan perlumbaan dari barisan hadapan di petak ke-3. Pencapaian ini adalah satu lonjakan drastik berbanding minggu sebelumnya di mana dia sekadar menduduki tempat ke-23 pada pusingan kelayakan di Phillip Island.

"Jika anda imbas kembali di Phillip Island minggu lalu dan bandingkan dengan penampilannya hari ini, terdapat perbezaan yang sangat ketara. Bagaimanapun, perjalanan karier Danish masih panjang dan kami akan terus mengharunginya bersama-sama," kata Zulfahmi.

Sebagai rekod, Zulfahmi yang membimbing dan menguruskan Danish sejak 2020 adalah pelumba Malaysia terakhir yang berjaya menaiki podium Moto3 di Sepang, selepas meraih kedudukan petak pertama dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada edisi 2012.