ZK Mahu Hakim Danish Tekan butang 'Reset' Sebelum Hadapi Mandalika

Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi mengharungi hujung minggu yang cukup mencabar pada perlumbaan di Litar Motegi apabila terbabit dalam 3 insiden kemalangan, sekali gus sedikit sebanyak diakui menjejaskan rentaknya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/8/20261 min read

PENGURUS SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin menggesa pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli supaya menekan butang 'reset' dan melupakan igauan ngeri di Grand Prix (GP) Jepun menjelang saingan GP Indonesia di Litar Mandalika, hujung minggu ini.

Terdahulu, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mengharungi hujung minggu yang cukup mencabar pada perlumbaan di Litar Motegi apabila terbabit dalam 3 insiden kemalangan, sekali gus sedikit sebanyak diakui menjejaskan rentaknya.

Justeru, Zulfahmi mahu anak buahnya itu membersihkan minda dan kembali fokus sepenuhnya kepada aksi seterusnya di Mandalika.

"Perkara paling penting buat Hakim Danish ketika ini adalah menekan butang reset dan segera melupakan insiden di Motegi. Kami tidak mahu bayangan kemalangan lalu mengganggu fokus serta keyakinannya di atas jentera," kata Zulfahmi.

Menyentuh mengenai cabaran di GP Indonesia, Zulfahmi percaya pengalaman Hakim yang pernah beraksi di Mandalika sebelum ini mampu menjadi senjata tambahan, namun mengingatkan bahawa saingan Moto3 berada pada tahap berbeza.

Bagi memastikan fizikal pelumba itu di tahap optimum, Zulfahmi menjelaskan pihak pengurusan sedang bekerja keras memantau keadaan Hakim, terutama kecederaan bahu yang dialaminya di Jepun.

"Mandalika menawarkan cabaran berbeza. Pengalaman Danish beraksi di sini sebelum ini memberi sedikit kelebihan, namun jentera Moto3 menuntut tahap ketepatan yang jauh lebih tinggi.

"Pasukan kini bersama fisioterapi memberi tumpuan penuh kepada Danish untuk memastikan bahunya berada dalam keadaan paling selesa sebelum sesi bermula," katanya.

Bagi mengelakkan insiden di Jepun berulang, Zulfahmi turut merangka pendekatan lebih taktikal buat Hakim bermula dari sesi latihan bebas, kelayakan sehinggalah ke hari perlumbaan.

"Kami mahu Hakim membina rentak perlumbaan secara berperingkat dan lebih berhati-hati bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini sepanjang sesi latihan.

"Dia perlu kekal tenang, bijak mengurus emosi dan memanfaatkan setiap peluang yang ada dalam perlumbaan hujung minggu ini," katanya.