ZK Percaya Masih Banyak Perlu Diperbaiki Hakim Danish

Pada saingan Pusingan 4 Grand Prix (GP) Sepanyol 2026 di Litar Jerez Angel Nieto pada Ahad, Hakim Danish yang berlumba bersama pasukan AEON Credit MT Helmets MSi menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13, selepas bermula dari petak ke-10

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/29/20261 min read

BOS ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui masih banyak penambahbaikan khususnya dari sudut teknikal tunggangan bagi membolehkan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bersaing secara konsisten di kelompok hadapan.

Pada saingan Pusingan 4 Grand Prix (GP) Sepanyol 2026 di Litar Jerez Angel Nieto pada Ahad, pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13, selepas bermula dari petak ke-10.

Zulfahmi berkata, dia sudah menjangkakan kesukaran yang bakal dihadapi oleh pelumba negara itu di Jerez, namun tetap menyifatkan apa yang diraih sebagai satu minggu perlumbaan yang berjaya mencapai sasaran awal.

"Minggu ini merupakan minggu yang agak positif untuk Hakim Danish. Memang sasaran utama kita adalah untuk berada di Q2 (Kelayakan 2) dan dia berjaya melayakkan diri.

"Segala proses dan kemajuan yang dia buat di Jerez adalah seperti yang kita jangka kerana ini memang sebuah litar yang sukar. Tetapi kita nampak Hakim Danish menyahut cabaran ini, memberi saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain, dan berjaya mengutip mata yang berharga di kedudukan ke-13," katanya.

Biarpun berjaya membawa pulang tiga mata kejuaraan dari Sepanyol, Zulfahmi menegaskan kerja keras perlu diteruskan jika Hakim Danish mahu melangkah ke tahap yang lebih tinggi.

"Saya yakin masih ada banyak ruang lagi untuk kita perbaiki, terutamanya daripada segi gaya tunggangan. Ini penting supaya Danish bukan sahaja kekal kompetitif, malah mampu berada di kelompok hadapan dengan lebih kerap," katanya.

Berdasarkan keputusan di GP Sepanyol itu, Hakim Danish kini mengumpul keseluruhan 12 mata, sekali gus meletakkannya di kedudukan ke-15 keseluruhan dalam carta Kejuaraan Dunia Moto3 musim ini.

Dalam pada itu, Zulfahmi turut merakamkan penghargaan kepada kru pasukan dan menaruh harapan tinggi menjelang pusingan seterusnya di GP Perancis, pertengahan bulan ini.

"Terima kasih kepada semua kru pasukan yang menjaga Danish dengan baik di Sepanyol. Selepas ini, tumpuan kita beralih ke Litar Le Mans yang juga litar kegemaran Hakim Danish.

"Kita amat berharap dia dapat mempamerkan persembahan dan keputusan yang lebih baik di sana nanti," katanya.