ZK Percaya Potensi Hakim Danish Cabar Kelompok Depan Di Austria

Keyakinan itu disandarkan kepada keupayaan anak didiknya itu yang mempamerkan tunggangan konsisten pada musim ini, sekali gus menyaksikan Hakim Danish kini cemerlang menghuni kedudukan kelapan keseluruhan dalam carta Kejuaraan Moto3 2026 dengan kutipan 94 mata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/17/20261 min read

PENGURUS Racing, Zulfahmi Khairuddin percaya dengan potensi dimiliki pelumba negara, Hakim Danish Ramli untuk memberi cabaran sengit kepada kelompok depan pada perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Austria 2026 di Litar Red Bull Ring, hujung minggu ini.

Keyakinan itu disandarkan kepada keupayaan anak didiknya itu yang mempamerkan tunggangan konsisten pada musim ini, sekali gus menyaksikan Hakim Danish kini cemerlang menghuni kedudukan kelapan keseluruhan dalam carta Kejuaraan Moto3 2026 dengan kutipan 94 mata.

Zulfahmi berkata, sasaran utama di Austria adalah untuk membawa pulang seberapa banyak mata berharga, namun pelumba kelahiran Terengganu itu perlu lebih tajam dalam memanfaatkan setiap peluang di atas litar.

"Yang penting, Danish perlu kekal fokus, mengurangkan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang yang ada. Kami percaya dia mempunyai potensi besar untuk bersaing dengan lebih dekat bersama kelompok hadapan di Austria," katanya.

Dalam pada itu, mengimbas kembali aksi di GP San Marino sebelum ini, Zulfahmi mengakui pelumbanya mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan keserasian bersama jentera, dan beliau tidak mahu situasi sama berulang.

"Seperti biasa, kami harapkan Danish dapat memperoleh tahap tunggangan atau 'feeling' yang baik sejak Sesi Latihan Bebas 1 (FP1) lagi. Jika dilihat pada perlumbaan di San Marino, dia mengambil sedikit masa untuk mendapatkan keserasian dengan cepat di litar.

"Jadi, kami harapkan di Austria kali ini dia dapat membina rentak dan mendapatkan ritma yang baik seawal mungkin. Ini sangat penting kerana kami mahu Danish berada dalam kelompok kompetitif sejak FP1. Jika dia berjaya dari awal, ia akan banyak membantu kelancaran persediaannya untuk sesi kelayakan dan hari perlumbaan sebenar," katanya.