ZK Puas Hati Debut Hakim Danish Di Misano
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/23/20241 min read
KEDUDUKAN ke-9 dan ke-15 mungkin dianggap tak begitu cemerlang berdasarkan angka namun bagi Pengurus pasukan SIC Racing - MSi, Zulfahmi Khairuddin (ZK), keputusan yang diraih Hakim Danish Ramli pada penampilan sulungnya di Kejuaraan Dunia JuniorGP FIM (JrGP) 2024 boleh dianggap baik.
Mengulas prestasi yang diperoleh Hakim Danish di Misano, Itali itu, Zulfahmi berkata secara keseluruhan, pelumba kelahiran Terengganu itu menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan bermula dari sesi ujian hingga perlumbaan.
"Prestasi keseluruhan minggu ini untuk Hakim Danish sangat baik," kata Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara.
"Hakim Danish menunjukkan kemajuan yang baik dari sesi ujian bebas hingga perlumbaan. Pasukan melakukan kerja yang baik untuk mencari pelarasan terbaik semasa latihan pada hari Jumaat.
"Hakim Danish juga kompetitif bertarung di kelompok hadapan. Hanya nasib tidak menyebelahinya untuk Perlumbaan 2," katanya.
Selain Hakim Danish, Zulfahmi turut mengulas prestasi seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Shahril yang juga beraksi di kejuaraan berkenaan.
Begitupun menurutnya, Danial agak lambat untuk memulakan 'gerakan' pada hari pertama yang memberi kesukaran kepada pelumba itu pada hari perlumbaan.
"Danial berjaya ke Kelayakan 2 tetapi malangnya, dia menghadapi masalah dengannya tayar belakang semasa dan terpaksa bermula dari petak ke-15," kata Zulfahmi. "Dia mengalami kemalangan pada Perlumbaan 1 semasa bersaing dalam kumpulan hadapan dan mengalami kecederaan di tangan kiri dan pinggul.
"Pada Perlumbaan 2, Danial menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, 5 saat daripada pemenang, dan ia agak baik selepas kemalangan dalam Perlumbaan 1," katanya.
Zulfahmi dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada pasukan, penaja dan semua orang yang menyokong dan mempercayai kemampuan anak buahnya dan akan berusaha keras bagi Pusingan 2 di Estoril, Portugal yang dijadual dua minggu lagi.