ZK Racing Jalin Kerjasama Dengan Pinnacle Healthcare

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/26/20231 min read

ZK Racing, pasukan lumba profesional negara yang bersaing di Kejuaraan Motosikal Dunia, European Talent Cup, Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Asia Talent Cup mengumumkan kerjasama terbaharu bersama Pinnacle Healthcare.

Sebagai info, Pinnacle Healthcare adalah klinik kiropraktik terkemuka di Kuala Lumpur dan dikendalikan kiropraktik terkenal, Aileen Ding DC yang memiliki kelulusan daripada Universiti Macquarie, Sydney, Australia.

Kerjasama ini menyaksikan Pinnacle Healthcare tampil sebagai klinik kiropraktik pertama di Malaysia yang menyediakan ZK Racing penjagaan kiropraktik berkualiti tinggi bagi menyokong prestasi sukan dan kesejahteraan keseluruhan pasukan itu.

Menurut ZK Racing, perkhidmatan kiropraktik khusus Pinnacle Healthcare akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan keseluruhan pelumba pasukan itu.

Dengan pengalaman sedekad dalam kedua-dua sukan kompetitif dan rekreasi, Pinnacle Healthcare dikatakan akan membawa perspektif unik kepada penjagaan kiropraktik kepada barisan pelumba ZK Racing.

Pinnacle Healthcare dalam pada itu berkata pihaknya berbangga dengan kerjasama bersama ZK Racing yang dilihat sebagai peluang untuk menyediakan pelumba-pelumba negara rawatan komprehensif yang sepatutnya diterima oleh atlet peringkat tinggi.

Sebagai info, Pinnacle Healthcare bukan saja memfokuskan kepada perlumbaan jentera 2 roda tetapi 4 roda selain turut pakar dari sudut pemulihan sukan kompetitif yang lain.