ZK Racing Jamin Sediakan Jentera Terbaik Buat Hakim Danish Untuk Wildcard
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/10/20251 min read


ADA perkara cukup positif keluar daripada Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin ketika bercerita mengenai peluang pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk beraksi secara wildcard di Grand Prix (GP) Malaysia 2025.
Sekalipun masih belum mendapat pengesahan mengenai penampilan pelumba berbakat itu di Sepang pada Oktober nanti, Zulfahmi yang juga bekas pelumba negara berjanji untuk menyediakan jentera Moto3 terbaik buat Hakim Danish untuk berlumba.
Selepas lima kedudukan naib juara berturut-turut, pelumba berusia 17 tahun itu akhirnya bergelar juara selepas memenangi Perlumbaan 2 kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Aragon, Sepanyol, minggu lalu.
Dan seperti biasa, perlumbaan berlangsung penuh mendebarkan dengan membenarkannya
kekal mendahului carta kedudukan pelumba kejuaraan yang disertai pelumba-pelumba berbakat seluruh dunia itu.
"Kita sudah merancang program wildcard ini sejak awal tahun lagi malah semua perkara membabitkan teknikal, termasuk jentera dan spesifikasinya sudah pun dibincangkan dengan pasukan," kata Zulfahmi.
"Apa yang kita rancang adalah kita akan menyediakan satu pakej yang sangat kompetitif, setanding dengan jentera Moto3 di kejuaraan dunia untuk Hakim Danish nanti.
“Begitupun, kami masih perlu menunggu kata putus rasmi daripada pihak PETRONAS SIC dan juga komitmen dana yang diperlukan."
Zulfahmi dalam pada itu mengakui peluang untuk melihat Hakim Danish beraksi di GP Malaysia memang cerah terutama berdasarkan prestasi pelumba itu setakat ini.
Selain pada kempen RBMRC, Hakim Danish turut menunjukkan prestasi meyakinkan dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP apabila menduduki kedudukan keempat dalam carta pelumba selepas dua pusingan berlangsung.
Mengulas mengenai kemenangan Hakim Danish di Aragon, Zulfahmi mengakui cukup berbangga dan memuji kebijaksanaan taktikal pelumbanya itu di atas Aragon khususnya ketika menewaskan pencabar utama dari Sepanyol, Brian Uriarte dalam keadaan litar kering.
