ZK Racing, RCB Jalin Kerjasama Teknikal Strategik, 'Bergabung, Meletup'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/12/20231 min read

DUA entiti yang sudah cukup sinonim dan terkenal dalam arena sukan permotoran negara, ZK Racing dan Racing Boy atau lebih dikenali RCB, baru-baru ini memeterai kerjasama strategik yang dijangka memberi manfaat cukup besar kepada kedua-dua pihak.

Kerjasama strategik antara ZK Racing dan RCB akan membabitkan penggabungan kepakaran dan sumber daripada kedua-dua pihak dalam usaha memacu kemajuan teknologi perlumbaan sekaligus meningkatkan prestasi pelumba dan jentera di trek.

Menerusi kerjasama itu, RCB akan menyokong pelumba-pelumba ZK Racing dalam Kejohanan Dunia Moto3 (Syarifuddin Azman), Red Bull MotoGP Rookies Cup & Kejohanan Dunia FIM JuniorGP (Danial Syahmi & Hakim Danish), dan pelumba Asia Talent Cup (Farres Putra, Farish Hafiy, Adi Putra & Ahmad Darwisy).

Ia termasuk dalam sokongan membabitkan ​​alat ganti komponen premium semasa latihan sebagai persiapan untuk perlumbaan antarabangsa.

Zulfahmi Khairuddin (dua kanan) dan Bruce Lee (Dua kiri)

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA, Bruce Lee Cong Quan berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama yang dijalin bersama ZK Racing yang memang terkenal dengan usaha mengejar kecemerlangan.

"Kerjasama ini memberikan peluang yang luar biasa untuk kedua-dua organisasi untuk menggabungkan kepakaran kami dan memacu inovasi dalam dunia sukan permotoran. Selain itu, ia juga bukan saja memberi manfaat kepada industri perlumbaan, malah untuk pasaran pengguna," katanya.

Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata RCB sememangnya rakan kongsi yang penting buat ZK Racing sejak tahun 2018 lagi yang juga permulaan program Impian ke MotoGP.

"Sejak itu, kedua-dua pihak berkembang kerana RCB kini adalah rakan kongsi teknikal kepada pasukan MotoGP dan ZK Racing sudah memulakan program kejuaraan dunia Moto3 pada 2023.

"Menerusi kesinambungan perkongsian strategik ini, ia benar-benar akan membantu membentuk masa depan sukan permotoran di mana ZK Racing juga telah membantu RCB membangunkan dan menguji produk perlumbaan prototaip. Terima kasih RCB atas kepercayaan kepada ZK Racing."