ZK Racing 'Unboxing' Jentera Moto3 Wildcard Hakim Danish
Jentera Moto3 dengan spesifikasi utama itu yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit seunit, selamat mendarat di Malaysia beberapa hari lalu dan didedahkan secara eksklusif oleh pasukan itu menerusi satu sesi 'unboxing' yang dikongsikan di media sosial
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/2/20251 min read


DEBARAN menjelang Grand Prix (GP) Malaysia 2025 semakin terasa apabila pasukan ZK Racing akhirnya menayangkan jentera Moto3 yang bakal menjadi 'senjata' pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli ketika beraksi secara wildcard di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hujung bulan ini.
Jentera Moto3 dengan spesifikasi utama itu yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit seunit, selamat mendarat di Malaysia beberapa hari lalu dan didedahkan secara eksklusif oleh pasukan itu menerusi satu sesi 'unboxing' yang dikongsikan di media sosial, hari ini.
Kehadiran jentera itu menandakan persiapan ZK Racing bagi memastikan penampilan sulung Hakim Danish selaku pelumba wildcard berjalan lancar dan mampu memberi saingan sengit.
Sesi 'unboxing' itu dilakukan sendiri oleh Pengurus ZK Racing yang juga bekas pelumba Grand Prix negara, Zulfahmi Khairuddin.
Zulfahmi sebelum ini mencuri tumpuan apabila memuat naik gambarnya duduk di atas kotak besi yang dikatakan menyimpan jentera berkenaan, sekali gus mengesahkan spekulasi peminat sukan permotoran tanah air.
Hakim Danish, 18, yang kini giat menjalani latihan intensif diberikan tiket wiladcard susulan reputasi cemerlangnya di pentas Eropah sekali gus menjadi sandaran untuk menggegar litar Sepang.
Pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan saingan sengit Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 di kedudukan ketiga keseluruhan, pencapaian yang amat membanggakan dan membuktikan konsistensinya menentang bakat-bakat terbaik dunia.
Penampilan Hakim Danish secara wildcard di GP Malaysia turut dilihat sebagai platform pendedahan terbaik buatnya untuk menarik perhatian pasukan-pasukan besar bagi merebut tempat sebagai pelumba sepenuh masa Kejuaraan Motosikal Dunia pada masa akan datang.
