ZK Tagih Konsistensi Hakim Danish Di Portugal

Hakim Danish yang juga pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi tampil positif selepas berjaya menamatkan 2 perlumbaan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Lusail, Qatar dalam kelompok 10 pelumba terbaik

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/19/20261 min read

PENGURUS SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin menuntut pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengekalkan momentum konsisten dan kekal fokus bagi menghadapi Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, hujung minggu ini.

Ingatan itu disuarakan susulan prestasi baik yang dipamerkan pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi kelahiran Terengganu itu, selepas berjaya menamatkan 2 perlumbaan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Lusail, Qatar dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

Kata Zulfahmi, rekod lampau Hakim Danish di bumi Portugal sememangnya menjadi kelebihan berguna dari segi pemahaman karakter litar yang mencabar dan beralun itu, namun menegaskan cabaran dalam kancah kejuaraan dunia Moto3 menuntut tahap persediaan yang jauh berbeza.

"Hakim Danish mempunyai pengalaman beraksi di sini sebelum ini, termasuk ketika meraih podium dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2023 dan juga perlumbaan Moto3 tahun lalu.

"Pengalaman itu pastinya memberikan kelebihan dari segi pemahaman terhadap karakter litar, namun cabaran dalam Moto3 sudah tentu berbeza dan dia perlu terus menyesuaikan diri dengan jentera serta tahap persaingan sengit di kejuaraan dunia Moto3," katanya.

Bekas pelumba Moto3 negara itu turut berharap supaya Hakim Danish dapat memanfaatkan sepenuhnya baki 2 pusingan musim ini dengan mengekalkan rentak positif yang dicapainya di Qatar.

"Saya harap Hakim Danish dapat mengekalkan momentum positif selepas keputusan di Qatar dan memberikan aksi terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan ini. Apa yang penting, dia perlu kekal fokus, konsisten dan memanfaatkan setiap sesi untuk mendapatkan keputusan yang baik," katanya.