ZONTES 368G (2025) Rasmi Di Malaysia, Unit CKD, RM 28.8k!

PELANCARAN

1/2/20252 min read

ZONTES Malaysia seperti jangkaan melancarkan model skuter 'viralnya', Zontes 368G (2025) di pasaran tempatan, hari ini bersama penawaran harga menarik RM 28,800 (asas).

Pernah dilaporkan sebelum ini, Zontes 368G adalah skuter yang diposisi dalam segmen 'Adventure' atau ADV dengan sambutan diterima cukup menggalakkan sejurus tempahannya dibuka.

Dan ketika pelancarannya yang turut berlangsung serentak dengan previu media, Zontes Malaysia memaklumkan sudah lebih 1,000 unit tempahan sudah diterima dengan penghantaran pertama dijadual berlaku pada Mac.

Tiba sebagai unit CKD dan dipasang di fasiliti pemasangan Zontes Malaysia di Kedah.

Untuk pasaran Malaysia, tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Grey/Blue, White/Gold dan Golden Stone Green.

Begitupun sedikit istimewa untuk pilihan warna Grey/Blue, ia ditawarkan dalam dua varian ketinggian pelana iaitu 'high' dan 'low' tetapi menariknya tidak membabitkan perubahan harga jualan.

Dan ia bukan perbezaan membabitkan sekadar braket di pelana kerana untuk varian 'high' dengan ketinggian pelana 795 mm, perubahannya membabitkan sistem suspensi menerusi jarak travel yang berbeza.

Untuk pilihan warna White/Gold dan Golden Stone Green, ketinggian pelana yang tersedia adalah 770 mm iaitu ketinggian 'low'.

Di bahagian trenkuasa, Zontes 368G dijana enjin bersesaran 368 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 38 Hp pada 7,500 rpm dan tork 40 Nm pada 6,000 rpm.

Dengan trenkuasa yang dikatakan dibangunkan sendiri oleh Zontes itu, Zontes 368G dikatakan mampu kelajuan lebih 130 km/j.

Dua mod menunggang tersedia iaitu Eco dan Sport. Apa yang menarik, jika rpm mencapai angka 7,000 rpm, ia akan beralih ke mod Sport secara automatik.

Ciri-ciri menariknya adalah seperti:

  • Kamera depan/belakang dengan sensor Sony STARVIS CMOS yang berupaya merakam video 1080p HD bersama storan 128GB.

  • Panel meter LCD IPS TFT berwarna 8 Inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar dan interkom helmet.

  • TPMS (tyre pressure monitoring system)

  • Sistem Kawalan Traksi (Traction control)

  • Visor angin boleh laras (5 tetapan) manual

  • Lampu kabus.

  • Pemanas grip bar hendal.

  • Sistem tanpa kunci.

  • Penutup tangki bahan api dibuka/tutup elektronik.

  • Sistem lampu LED penuh termasuk DRL (lampu siang).

  • Lengkap 'Crash bar' (pelindung enjin) dan 'Handguard' (pelindung tangan)

  • Port pengecas USB Type-A dan Type-C pantas.

  • Lampu kabus 26 watt.

Di bahagian suspensi, Zontes 368G ADV dilengkapi dengan fork jenis (USD) 41 mm dengan ciri pelarasan 'rebound dan compression' bersama penyerap hentak tunggal (belakang) dengan ciri 'preload dan rebound'.

Sistem brek pula menggunakan cakera tungga depan dan belakang bersama kaliper brek J.Juan 4-piston (depan) dan kaliper 2-piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Set roda yang digunakan adalah 110/70-17 (depan) dan 150/70-14 (belakang) bersama rim jenis jejari (spoked) tanpa tiub.

Dengan berat 198 kg, Zontes 368G ADV mempunyai kapasiti tangki bahan api sebesar 17.5 liter yang didakwa boleh mencapai jarak tunggangan sehingga 500 km.

Selain itu, ia turut mempunyai ruang simpanan bawah pelana sebesar 52 liter yang dikatakan mampu memuatkan dua helmet bersaiz penuh (mengikut saiz).

Untuk jaminan, Zontes Malaysia menawarkan jaminan selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km sebagai standard selain pilihan.