ZONTES 368G Dipertontonkan Di China, Gaya 'Adventure', Mirip X-ADV!

TULAR

5/15/20242 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal China, Zontes baru-baru ini menayangkan skuter terbaharunya Zontes 368G di pameran Canton Fair 2024 dan ia pantas mendapat perhatian bukan saja di China, malah antarabangsa termasuk Malaysia.

seperti biasa, perhatian yang diterima oleh skuter berkenaan adalah membabitkan rekaan kerana ia sememangnya cukup mirip skuter aras tinggi 'Adventure' daripada Honda, Honda X-ADV 750.

Seperti dinyatakan lebih awal, dari sudut penampilan, Zontes 368G menampilkan gaya agresif ADV yang tampak mampu ditunggang di laluan lasak.

Tetapi kepada yang tidak tahu, Zontes sebenarnya sudah pun mempunyai model yang lebih mirip Honda X-ADV 750 iaitu Zontes 501G yang ditayangkan di Eicma tahun lalu.

Di bahagian trenkuasa, Zontes 368G dipadankan dengan enjin bersesaran 368 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan kuasa yang dihasilkan adalah 38.7 Hp pada 7,500 rpm dan tork 40 Nm pada 6,000 rpm.

Tampil dengan penggunaan bar hendal jenis tinggi dan terdedah, Zontes 368G di Canton Fair sudah pun dipadankan dengan 'crash bar' yang dikatakan datang secara standard.

Seperti skuter moden lain, ia dipadankan dengan sistem suspensi yang premium iaitu fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak berkembar (belakang) lengkap dengan 'sub tank'.

Di bahagian brek, Zontes 368G dipadankan dengan brek cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci ABS) dan memiliki ciri Kawalan Traksi.

Sebagai perbezaan, Zontes 501G yang dipadankan dengan cakera berkembar dan nampak lebih sasa dan kedua-duanya menggunakan rim jenis jejari.

Selain itu, antara maklumat yang diperoleh mengenai Zontes 368G adalah ia menggunakan lampu jenis LED penuh, dilengkapi dengan kamera berdefinasi tinggi (depan dan belakang) dan semestinya panel meter 8 Inci TFT berwarna.

Apa yang menarik lagi adalah Zontes 368G ini memiliki kapasiti ruang simpanan bawah pelana sebesar 50 liter dan didakwa mampu memuatkan dua helmet, kapasiti tangki bahan api 17.5 liter yang katanya mampu mencecah jarak 400 km dengan setiap pengisian penuh.

Dan sebagai skuter yang dikatakan mampu meredah laluan lasak, ia memiliki jarak bumi yang cukup tinggi iaitu 180 mm dan berat 198 kg.

Sebagai info, di Malaysia, Zontes diedarkan oleh syarikat Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd, syarikat sama yang turut memasarkan jenama KTM, Husqvarna dan GasGas di Malaysia.

Dan antara model terbaharu yang ditawarkan syarikat berkenaan menerusi jenama Zontes di pasaran tempatan adalah skuter Zontes ZT350D dan ZT250D.

Sumber: dongchedi.com