ZONTES Malaysia Lancar Zontes 350D, 350E (2023), Harga Mula RM 23.8k!

PELANCARAN

8/18/20232 min read

ZONTES Malaysia, hari ini mengumumkan kehadiran model terbaharunya di pasaran tempatan dalam segmen skuter maxi, Zontes 350D dan 350E (2023), model yang diharap berupaya 'menggugat' populariti jenama-jenama popular yang sudah lama bertapak di pasaran.

Dari sudut penampilan, kedua-dua varian Zontes 350D dan 350E (2023) tiba dengan rekaan elegan - tipikal skuter maxi di pasaran namun dibezakan dengan 'perwatakan' berbeza.

Untuk Zontes 350D (2023), rekaan depannya tampak lebih ranggi dan sporty manakala Zontes 350E (2023) tampil lebih ekskusif.

Tetapi apa yang menarik, kedua-duanya dilengkapi dengan teknologi terkini dan sarat dengan pelbagai ciri premium yang kebiasaan dipadankan pada harga yang agak 'menakutkan'.

Sebelum pergi lebih jauh, Zontes 350D (2023) datang dengan tanda harga RM 23,800 (asas) dan Zontes 350E (2023) ditawarkan pada harga RM 25,800 (asas).

Mengulas bahagian trenkuasa, kedua-dua varian Zontes 350D dan 350E dijana enjin bersesaran 349 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi aotomatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan juga sama iaitu 36 Hp dan tork 38 Nm.

Berikut adalah perbezaan utama Zontes 350D dan 350E (2023):

Zontes 350D (2023)

- Fokus untuk penggunaan dalam bandar

- Rekaan lebih 'slim' (Jarak antara roda 1,405 mm)

- Berat 190 kg (Nisbah kuasa-berat terbaik dalam kelasnya)

- Tangki bahan api 12 liter

- Pengisian penuh - 400 km (Mod Eco)

- Pilihan warna (Perak, Hitam)

Zontes 350E (2023)

- Fokus kepada penggunaan 'touring'

- Rekaan lebih besar (Jarak antara roda 1,565 mm)

- Berat 203 kg

- Tangki bahan api 16 liter

- Pengisian penuh 457 km

- Kapasiti ruang simpanan bawah pelana 50 liter (Dua helmet full face)

- Ruang simpanan kokpit 500 ml (kalis air)

Ciri-ciri menarik yang dikongsi:

- Panel meter TFT berwarna 6.7 inci

- Sistem Kunci Pintar

- Visor angin boleh laras

- Dua port pengecas pantas 18W (Jenis A,C)

- Mod Kuasa (Sport, Eco)

Sistem brek menggunakan cakera tunggal depan dan belakang. Brek depan datang dengan kaliper 4 Piston (J.Juan) dan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran. Turut tersedia adalah Sistem Pemantauan Tekanan tayar (TPMS) dan sistem lampu LED penuh.

Jaminan yang diberikan pengedar adalah dua tahun atau 20,000 km serta tiga tahun dengan jarak perbatuan 30,000 km (tertakluk terma dan syarat).

Kepada yang berminat, kedua-dua varian Zontes 350D dan 350E (2023) sudah pun berada di cawangan pengedar rasmi Zontes Malaysia seluruh negara.