ZONTES Malaysia Perkenal 4 Skuter Siri 368, Dah Ada 'Cruise Control', Mula RM 23.8k!

Apa yang menarik, siri Zontes 368 turut dipadankan dengan sistem kawalan pendikit minyak elektronik (throttle-by-wire), ada Kawalan Jelajah (Cruise Control), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

PELANCARAN

3/6/20262 min read

ZONTES Malaysia terus merancakkan lagi persaingan dalam segmen skuter tempatan dengan melancarkan 4 model baharu di bawah siri ZONTES 368 (2026) iaitu 368D, 368E, 368G dan 368K yang memperoleh pelbagai peningkatan terutama dari sudut teknologi.

Ditawarkan pada harga bermula dari RM 23,800 hingga RM 28,800, siri terbaharu ini dikatakan direka khusus bagi memenuhi pelbagai gaya hidup tunggangan rakyat Malaysia, sama ada untuk perjalanan ulang-alik harian, penjelajahan jarak jauh, mahupun tunggangan lasak ringan.

Menurut Zontes Malaysia, pengenalan siri ini bukan sekadar model baharu, sebaliknya satu evolusi besar daripada siri 350.

Tampil dengan peningkatan kapasiti enjin bersesaran 368 cc, kesemua model ini berkongsi nadi 1 Silinder yang responsif dan mampu menjana kuasa maksimum 28.5 kW (sekitar 38 Hp) dan tork 40 Nm sekali gus menjanjikan pecutan mantap dan prestasi yang lancar.

Apa yang menarik, siri Zontes 368 turut dipadankan dengan sistem kawalan pendikit minyak elektronik (throttle-by-wire), ada Kawalan Jelajah (Cruise Control), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Berikut adalah perincian 4 model yang diperkenalkan:

1. ZONTES 368D untuk 'Geng Stylo' (RM 23,800)

Disasarkan untuk penunggang urban yang gemar bersantai di kafe dan bersiar-siar di bandar. Dengan berat hanya 175 kg (25 kg lebih ringan berbanding 350D), ia menawarkan pengendalian yang tajam dan lincah. Ia turut dilengkapi ruang simpanan 20 liter yang praktikal. Tiga warna ditawarkan: Kelabu, Hitam, dan Hijau.

2. ZONTES 368E untuk 'Geng Convoy' (RM 25,800)

Skuter Touring Maxi ini direka untuk keselesaan konvoi jarak jauh. Ia didatangkan dengan pemanas 'grip' dan pemanas pelana untuk keselesaan cuaca berbeza, serta ruang kaki seluas 260 mm. Paling menarik, ruang simpanan bawah tempat duduknya sebesar 50 liter mampu memuatkan dua buah topi keledar. Hadir dengan dua pilihan warna: Kelabu dan Hitam.

3. ZONTES 368G untuk 'Geng Explorer' (RM 28,800)

Varian paling lasak untuk penggemar pengembaraan. Ia dibekalkan dengan tangki bahan api sebesar 17.5 liter, ada 2 mod tunggangan (Touring/Sport), dan kotak simpanan belakang gergasi bersaiz 52 liter. 2 varian ditawarkan; Standard (kelegaan tanah 155 mm) dan High (kelegaan tanah 180 mm - akan datang). Warna pilihan: Perang dan Kelabu.

4. ZONTES 368K untuk 'Geng Healing' (RM 27,800)

Ahli keluarga terbaharu yang direka untuk mereka yang mencari ketenangan dan keselesaan maksimum. Seberat 186 kg, model ini sangat stabil untuk siri jelajah. Fokus utamanya adalah keselesaan menerusi penggunaan pelana gaya sofa pneumatik dengan sokongan lumbar.

Ciri mewahnya diperhebat dengan panel meter TFT 6.75 inci, cermin penghadang angin elektrik anti-golakan, lampu projektor LED automatik dan rak bagasi aloi magnesium. Ia ditawarkan secara eksklusif dalam warna Kelabu.