ZULFAHMI Cabar Hakim Danish Naik Podium Di Magny-Cours
Pengurus SIC Racing-MSi, Zulfahmi Khairuddin meletakkan sasaran supaya pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk mengisi kedudukan podium pada Pusingan Ketiga Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) yang bakal berlangsung di Litar Magny-Cours, Perancis, hujung minggu ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/3/20251 min read


ZULFAHMI Khairuddin melaungkan cabaran supaya pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk mengisi kedudukan podium pada Pusingan Ketiga Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) yang bakal berlangsung di Litar Magny-Cours, Perancis, hujung minggu ini.
Bekas pelumba Moto3 negara, berkata, sasaran tinggi itu diletakkan hasil daripada penelitiannya terhadap kemampuan pelumba berusia 17 tahun itu dan jentera yang disediakan pasukannya selepas mengharungi ujian persendirian di litar sama, dua minggu lalu.
"Sasaran utama kami adalah untuk kembali ke podium bersama Hakim Danish. Saya yakin dengan motivasi dan keyakinan yang dimilikinya ketika ini. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menamatkan perlumbaan dengan cemerlang,” katanya.
Zulfahmi dalam pada itu turut memberi jaminan seluruh pasukan teknikal sedang berusaha keras memastikan jentera dalam keadaan terbaik menjelang perlumbaan berkenaan.
“Secara jujurnya, saya percaya pasukan mampu menyediakan jentera yang kompetitif. Saya juga yakin dengan kematangan serta corak tunggangan Hakim Danish yang mampu memberikan saingan hebat minggu ini,” katanya.
Sebagai rekod, litar ikonik Magny-Cours yang terletak di tengah Perancis buat pertama kali akan menganjurkan perlumbaan JrGP pada tahun ini dengan litar sepanjang 4.4 kilometer itu cukup terkenal sebagai venue tetap Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) sejak 2003.
Selepas meraih tempat kedua pada perlumbaan pembuka tirai di Estoril, Portugal, prestasi Hakim Danish dari Terengganu merudum pada Pusingan kedua di Jerez, Sepanyol yang menyaksikannya menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan dan kelima pada Perlumbaan 2.
Dia ketika ini menghuni tangga keempat carta keseluruhan JrGP selepas dua pusingan dengan mengumpul 38 mata dan dibezakan 37 mata daripada pendahulu, Brian Uriarte dari Sepanyol yang juga pencabar utamanya dalam Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025.
Sebagai antara cara mendapatkan keputusan terbaik, Hakim Danish sudah berada di Sepanyol sejak Mei lalu bagi menjalani latihan intensif termasuk menyertai latihan serta menyesuaikan diri dengan jentera dan konfigurasi litar.
Ia adalagh sebagai sebahagian daripada strategi pengumpulan data teknikal kejuaraan yang membariskan pelumba-pelumba terbaik dari seluruh dunia itu.
Seperti diketahui, JrGP dianggap sebagai pentas terakhir buat pelumba-pelumba muda terbaik dunia untuk membuktikan kualiti yang dimiliki mereka sebelum dinaikkan pangkat ke pentas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia.
