ZULFAHMI Khairuddin Percaya Tekanan Ganggu 'Rentak' Hakim Danish
Sekalipun tiba di Austria sebagai pendahulu kejuaraan RBMRC, Hakim Danish tidak berjaya mempertahankan kedudukan itu apabila meraih tempat kelapan pada Perlumbaan 1 sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-13.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/20/20251 min read


FAKTOR tekanan dipercayai Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin menjadi antara kemerosotan prestasi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli pada pusingan keenam Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di Litar Red Bull Ring, Austria minggu lalu.
Sekalipun tiba di Austria sebagai pendahulu kejuaraan RBMRC, pelumba berusia 18 tahun itu tidak berjaya mempertahankan kedudukan itu apabila meraih tempat kelapan pada Perlumbaan 1 sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-13.
Keputusan itu sekali gus menyaksikannya tergelincir ke tangga ketiga keseluruhan carta pelumba untuk dipintas pencabar utamanya, Brian Uriarte dari Sepanyol serta pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama.
Turut kecewa dengan keputusan yang diraih Hakim Danish, Zulfahmi menjelaskan kekecewaan yang dihadapi pelumba kelahiran Terengganu itu jauh lebih tinggi.
"Tekanan yang hebat diberikan kepada Hakim Danish oleh Uriarte dan Veda di mana kita tahu kedua-dua pelumba ini amat kuat dan Hakim Danish pula tak dapat kelajuan yang baik pada kali ini.
"Saya percaya ini berlaku bukan disebabkan oleh faktor Hakim Danish tak dapat sesuaikan diri dengan litar atau ada masalah jentera, tetapi lebih kepada tekanan kepada diri dia sendiri."
Selepas merangkul lima kedudukan naib juara berturut-turut diikuti kemenangan pada tiga pusingan awal, prestasi pelumba itu jelas merosot khususnya di Jerman dan Austria yang berakhir tanpa kedudukan podium.
Dengan berbaki satu pusingan, Hakim Danish yang mengumpul 165 mata ketinggalan 26 mata di belakang Uriarte (191 mata) dengan Veda di tempat kedua dengan 170 mata.
Pusingan ketujuh yang juga penutup tirai RBMRC musim ini dijadual berlangsung di litar Misano, Itali bulan depan.
