ZULFAHMI Letak Sasaran 10 Terbaik Buat Pelumba Negara Di ATC 2025 Thailand

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/20/20251 min read

BOS ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang bertindak sebagai pengurus kepada pelumba negara di Asia Talent Cup (ATC) 2025, Sharf Farhan dan Adam Daniel menyifatkan kelompok 10 terbaik sebagai sasaran realistik untuk dua pelumba muda itu.

Bekas pelumba Moto3 negara itu berkata, sasaran itu diletakkan berdasarkan catatan masa yang dibuat kedua-dua pelumba berkenaan ketika sesi latihan yang dijalankan selama kira-kira dua bulan.

Zulfahmi berkata, berdasarkan ujian yang dibuat, prestasi yang ditampilkan Sharf Farhan dan Adam Daniel masih jauh daripada juara ATC musim 2022, Hakim Danish Ramli.

"Apa yang boleh saya katakan kita pergi ke ATC kali ini dengan persiapan yang secukupnya," kata Zulfahmi yang juga Pengurus SIC Racing dalam rakaman suara dibekalkan pasukan itu.

"Saya berharap yang kedua-dua pelumba dapat memberikan saingan yang baik, menjalani sesi ujian dan perlumbaan yang baik kerana ini adalah perlumbaan pertama buat kedua mereka."

Sharf Farhan dan Adam Daniel yang 'terbang' ke Buriram, semalam dijadual menjalani sesi ujian pra-musim ATC 2025 selama dua hari bermula esok di Buriram, Thailand.

Justeru, Zulfahmi berharap kedua-duanya dapat memanfaatkan sepenuh sesi berkenaan untuk mendapatkan keserasian terhadap jentera yang akan digunakan di kejuaraan itu.

"Buat masa sekarang, kita fokuskan kepada sesi latihan untuk kedua-dua mereka bersedia menghadapi perlumbaan.

"Dan selepas perlumbaan di Buriram nanti, barulah kita boleh menilai kembali sasaran yang akan kita letakkan," katanya.

Sebagai info, pusingan pertama ATC 2025 dijadual berlangsung pada 28 Februari hingga 2 Mac ini bersempena pusingan pembukaan Grand Prix Thailand 2025