ZXMOTO 500F Gegar Pasaran Malaysia, RM 28,888!
Dari sudut penampilan, ZXMoto 500F (2026) sememangnya cukup mirip dengan model dari negara 'J' yang popular dan masih mempunyai peminat sehingga kini
TERKINI
9/12/20261 min read


SEPERTI dijanjikan, pihak MForce Bike mengumumkan tanda harga untuk model ZXMoto bergaya 'Naked Retro' yang dipadankan dengan enjin 4 Silinder Sebaris dan katanya berjaya mencetus nostalgia, ZXMoto 500F (2026) pada tanda harga yang cukup mengujakan, RM 28,888.
Seperti biasa, angka berkenaan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
3 pilihan warna tersedia iaitu:
Phantom Black
Crimson Red
Arctic White
Dari sudut penampilan, ZXMoto 500F (2026) sememangnya cukup mirip dengan model dari negara 'J' yang popular dan masih mempunyai peminat sehingga kini.
Selain rekaan yang menarik, turut membuatkan ZXMoto 500F (2026) menarik adalah trenkuasanya yang dipacu enjin 470 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac 'slipper'.
Kuasa berada pada angka 73.4 Hp 11,000 rpm dan tork 48 Nm pada 9,500 rpm.
Aspek pengendalian, ZXMoto 500F (2026) yang memiliki berat 175 kg dan tangki bahan api berkapasiti 15 liter ini menggunakan kerangka jenis kembar bersama struktur 'trellis' keluli.
Suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) bersama penyerap hentak belakang jenis tunggal dengan pelarasan prabeban. Sistem brek pula menggunakan cakera berkembar bersaiz 300 mm (depan) dan cakera tunggal 220 mm (belakang) dan disokong oleh Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi-saluran.
Meskipun tampil sebagai model paling mampu milik dalam 3 model yang dilancarkan, ZXMoto 500F (2026) masih padat dengan ciri teknologi. Ia dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS), 2 mod tunggangan (Eco dan Sport) serta port pengecas USB.
Untuk mengekalkan gaya klasik, panel meter menggunakan gabungan jarum analog bersama skrin LCD di bahagian tengah.
Seperti biasa, setiap pembelian hadir dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km berserta kelebihan waranti komponen enjin tanpa had perbatuan sekiranya tempoh dua tahun belum tamat.





