ZXMOTO 500RR, Ini 'Sportbike' 4 Silinder Sebaris Bakal Gegar Pasaran Malaysia

Kehadiran pengeluar motosikal China, ZXMOTO yang terkenal dengan kelajuan susulan pembabitan mereka di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) ke pasaran Malaysia adalah menerusi MForce Bike

TERKINI

4/21/20262 min read

PEMINAT motosikal 'Sportbike' tempatan, atau lebih dikenali 'pencinta kelajuan' bakal menerima 'keterujaan' baharu apabila pengeluar motosikal China, ZXMoto mengesahkan kemasukan mereka pasaran Malaysia menerusi MForce Bike.

Bakal membawa masuk beberapa model dengan jangkaan pelancaran pada tahun ini, antara model yang sedang 'dalam perjalanan' itu adalah ZXMOTO 500RR, motosikal 'Sportbike' yang dipadankan dengan enjin 4 Silinder Sebaris.

Kepada yang tidak tahu, ZXMoto adalah jenama baharu yang berpangkalan di China, diasaskan pada tahun 2024 oleh Zhang Xue dan mereka berjaya menggegar pentas perlumbaan dua roda di WSBK, baru-baru ini.

Bukan sekadar cakap kosong, ZXMOTO 500RR ketika ini turut dilaporkan sedang giat menjalani proses ujian jalan raya.

Selain rekaan, antara tarikan paling utama jentera ini sudah pasti terletak pada nadi kuasanya yang dipacu oleh enjin bersesaran 470 cc, 4 Silinder Sebaris, 16-injap, Penyejuk Cecair, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Meskipun dipadankan dengan enjin di bawah 500 cc, ia mampu menghamburkan kuasa luar biasa mencecah 84.2 Hp pada 13,500 rpm dan tork 46 Nm pada 11,500 rpm.

Berdasarkan dakwaan pengeluar, sportbike ini mampu mencatat kelajuan maksimum sekitar 235 hingga 240 kilometer sejam (km/j), menjadikannya jentera yang sangat ideal untuk 'dilayan' di litar lumba.

Dari sudut kosmetik, ZXMOTO 500RR menampilkan reka bentuk yang sangat agresif, tajam dan aerodinamik, di mana estetikanya dikatakan setanding dengan reka bentuk kelas superbike buatan Eropah mahupun Jepun.

Profil premiumnya diserikan lagi dengan padanan bar hendal aluminium serta lengan ayun tunggal (single-sided swingarm).

Lebih mengagumkan, jentera ini padat dengan teknologi elektronik canggih masa kini dan dilengkapi Unit Pengukuran Inersia (IMU) 6-paksi, mod tunggangan pilihan, serta sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) daripada BOSCH.

Segala maklumat jentera dipaparkan dengan jelas menerusi panel meter TFT berwarna sepenuhnya.

Bagi kelancaran pengendalian, ia dilengkapi suspensi hadapan jenis fork terbalik (USD) dengan jarak gerak 41 mm boleh laras, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tunggal dengan pelarasan penuh.

Tugas memberhentikan jentera diserahkan kepada brek cakera berkembar 300 mm (depan) dan cakera tunggal 220 mm (belakang), lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Cengkaman jentera di atas jalan disokong oleh tayar bersaiz 120/70 ZR17 di depan dan 180/55 ZR17 di belakang dengan berat 168 kilogram (kg) dan ketinggian pelana 800 mm.