ZXMOTO 820RR-RS Debut Di CIMA 2026, Brek Brembo, Gentian Karbon!

Sebagai model 'flagship', ZXMoto 820RR-RS hadir dengan pelbagai komponen, kelengkapan, panel badan yang lebih premium dan kuasa yang lebih padu berbanding versi standard

TERKINI

9/21/20261 min read

ZXMOTO mengumumkan sesuatu yang mengujakan di pentas CIMA 2026 apabila melancarkan versi tertinggi model 'Sportbike' berprestasi jenama itu, ZXMoto 820RR-RS.

Sebagai model 'flagship', ZXMoto 820RR-RS hadir dengan pelbagai komponen, kelengkapan, panel badan yang lebih premium dan kuasa yang lebih padu berbanding versi standard.

Dan ia hadir bersama tanda harga yang turut premium, RMB 138,000 (RM 83,957) yang lebih mahal berbanding versi trek ZXMoto 820RR-RC yang diumumkan pada RMB 128,000 (RM 77,859).

Meskipun tiada perbezaan dari sudut rekaan, ZXMoto 820RR-RS dipadankan dengan panel badan gentian karbon, 'sub-frame', rim tempaan CNC, bolt titanium dengan sistem ekzos Termignoni yang diperbuat daripada titanium sepenuhnya.

Malah, ada komponen enjin yang turut menggunakan asas material titanium seperti injap dan 'connecting rods'.

Bahagian trenkuasa, ZXMoto 820RR-RS kekal dengan padanan enjin 818.8 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, Fi, Penyejuk Cecair, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap 'Quickshifter' 2 hala.

Dengan penambahbaikan yang dibuat, kuasa yang dihamburkan meningkat kepada 147.5 Hp @ 13,500 rpm dengan tork 86 Nm @ 10,000 rpm.

Sistem suspensi pula menggunakan fork USD 43 mm jenama KYB dengan ciri boleh laras sepenuhnya, tiub fork DLC + bottom case CNC dan penyerap hentak tunggal juga dari KYB dengan ciri boleh laras penuh.

Brek pula menggunakan cakera berkembar 330 mm yang dipadankan dengan kaliper Brembo PRO1 dengan pam RCS dengan cakera tunggal 220 mm bersama kaliper Brembo P34 lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Pro dan EVvo.

Untuk menjadikannya lebih premium, tayar dari 'kilang' menggunakan jenama Pirelli V4 SP (Diablo Supercorsa).

Seperti versi 'Standard', sistem elektronik ZXMoto 820RR-RS juga lengkap dengan unit pengukur inersia 6‑axis IMU, mod tunggangan, Cornering ABS, kawalan cengkaman (TCS) pelbagai tahap dan fungsi 'launch control'.

Panel meter menggunakan sistem Android 6.2 inci menyokong sambungan T‑BOX dan ciri-ciri menarik lain termasuklah Sistem Kawalan Jelajah, Sistem pemantauan tekanan tayar dan sistem 'key-less'.

Dan dengan pelbagai penambahbaikan dan naik taraf yang dibuat, ZXMoto 820RR-RS mempunyai berat hanya 182 kg.