ZXMOTO 820RR Tiba Di Bilik Pameran MForce Isnin Ini

Tampil dengan rekaan 'sedap mata memandang', dari sudut kuasa, ZXMOTO 820RR dijana enjin 818.8 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, Penyejuk Cecair/Minyak, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual

TERKINI

11/13/20261 min read

ZXMOTO Malaysia mengumumkan model 'Supersport' popularnya, ZXMOTO 820RR bakal tersedia di bilik pameran MForce Bike mulai Isnin minggu depan.

Seperti diketahui, ZXMOTO 820RR dilancarkan pada September lalu pada harga RM 39,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans dan tersedia bersama 3 pilihan warna iaitu Eclipse Black, Ghost White dan Rebel Red.

Tampil dengan rekaan 'sedap mata memandang', dari sudut kuasa, ZXMOTO 820RR dijana enjin 818.8 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, Penyejuk Cecair/Minyak, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa dihamburkan berada pada angka 133 Hp pada 12,000 rpm dan tork 80 Nm pada 9,500 rpm.

Apa yang menarik, ZXMOTO 820RR turut dilengkapi Unit Pengukuran Inersia (IMU) 6 paksi yang membolehkan sistem elektronik canggih seperti Cornering ABS, Kawalan Jelajah dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dengan ciri boleh dinyahaktifkan.

Ia turut menawarkan 5 mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Custom-1 dan Custom-2 bersama panel meter TFT berwarna 6.2 inci yang serasi dengan aplikasi EYLink bagi fungsi navigasi serta pencerminan skrin, sambungan Bluetooth dan port pengecas USB.

Aspek pengendalian, motosikal yang menggunakan kerangka aloi aluminium tuang ini dilengkapi dengan fork jenis terbalik (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) yang masing-masing menawarkan ciri pelarasan prabeban serta redaman sepenuhnya.

Sistem brek menggunakan cakera berkembar terapung bersaiz 320 milimeter (mm) di roda depan dan cakera tunggal 220 mm (belakang) bersama Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran.

Ciri-ciri menarik dan premium yang tersedia termasuklah sistem 'Quickshifter' atas/bawah, sistem tanpa kunci dengan sokongan NFC dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Info lain:

  • Lampu LED penuh

  • Set roda 120/70-17 (depan), 190/55-17 (belakang)

  • Tinggi pelana 825 mm

  • Tangki bahan api 18 liter

  • Berat 193 kilogram

Macam biasa, setiap pembelian ZXMOTO 820RR hadir dengan waranti selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 kilometer (km) yang mana terdahulu, manakala komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh dua tahun jika perbatuan melebihi 20,000 km.