ZXMOTO Bawa Pakar Dari China Ke MForce Bike, Pastikan Kualiti CKD Terjamin

Kehadiran barisan pakar ZXMoto ini bertujuan menjalankan latihan intensif serta memberi bimbingan secara langsung kepada pasukan teknikal tempatan merangkumi segenap aspek pemasangan model-model jenama itu

TERKINI

10/5/20261 min read

DALAM usaha memastikan kualiti motosikal pemasangan tempatan (CKD) mencapai piawaian tertinggi, ZXMOTO Malaysia mengambil inisiatif menerbangkan 3 jurutera secara terus dari ibu pejabat ZXMOTO Global di China ke kilang pemasangannya di Pulau Pinang.

Kehadiran barisan pakar automotif itu bertujuan menjalankan latihan intensif serta memberi bimbingan secara langsung kepada pasukan teknikal tempatan merangkumi segenap aspek pemasangan model-model jenama itu.

Menurut MForce Bike, kepakaran jurutera dari China itu amat penting bagi memastikan prosedur pemasangan, pemeriksaan kualiti, penalaan enjin, integrasi sistem elektronik serta parameter keselamatan mematuhi standard ketat (SOP) yang ditetapkan oleh pengeluar motosikal berkenaan.

Selain aspek pemasangan fizikal, jurutera-jurutera ini turut memberi penekanan mendalam terhadap ketepatan dan kawalan kualiti akhir.

Ini bagi memastikan setiap unit yang keluar dari kilang pemasangan MForce Bike di Pulau Pinang berada pada tahap terbaik sebelum ia diserahkan kepada pembeli.

Program pemindahan teknologi ini sebenarnya adalah kesinambungan daripada inisiatif awal ZXMOTO Malaysia yang terlebih dahulu menghantar beberapa kakitangan ke kilang di China.

Di sana, mereka mendalami aspek teknikal khusus di bawah seliaan pakar ZXMOTO sebelum amalan itu dipraktikkan di tanah air.