ZXMOTO Malaysia Hantar Krew Jalani Latihan Teknikal Di HQ ZXMOTO China
Latihan komprehensif yang dijalankan ZXMOTO Malaysia itu merangkumi penguasaan aspek alat ganti, pengenalpastian komponen, fungsi setiap bahagian, serta pemahaman terperinci mengenai keperluan penyelenggaraan dan proses penggantian
TERKINI
8/16/20261 min read


ZXMOTO Malaysia menjelang pelancaran rasmi jenama itu di pasaran tempatan pada 13 September ini menerusi pengedar eksklusifnya, MForce Bike mengambil langkah proaktif dengan menghantar pasukan teknikalnya ke ibu pejabat ZXMOTO di China.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada persediaan ZXMOTO Malaysia bagi memastikan pasukan tempatan menjalani sesi latihan teknikal intensif secara terus daripada tenaga pakar pengeluar motosikal berkenaan.
ZXMOTO menjelaskan, modul latihan komprehensif dijalankan merangkumi penguasaan aspek alat ganti, pengenalpastian komponen, fungsi setiap bahagian, serta pemahaman terperinci mengenai keperluan penyelenggaraan dan proses penggantian.
Menurut ZXMOTO Malaysia, pengetahuan teknikal ini amat penting bagi memastikan kelancaran proses diagnosis dan ia membolehkan kerja-kerja servis dan penyelenggaraan dilaksanakan dengan tahap ketepatan, kecekapan, serta profesionalisme yang tinggi.
Dan dengan penguasaan ilmu yang tepat dan latihan menyeluruh ini, ZXMOTO Malaysia kini bersedia sepenuhnya untuk memberikan penerangan produk, khidmat nasihat, serta sokongan selepas jualan yang terbaik kepada bakal pelanggan di negara ini, kata syarikat itu.
Turut berada dalam delegasi ke China itu adalah Pengurus Servis MForce, Mohamad Rusdi Rejab.
Kehadirannya dan pasukan teknikal di ibu pejabat ZXMOTO itu membuktikan komitmen serius MForce dalam mengukuhkan keyakinan pengguna terhadap kualiti perkhidmatan jenama itu sebelum ia menjengah pasaran Malaysia secara rasmi.

