ZXMOTO Nak Gegar Pasaran 'Adventure' Dengan Enjin 'Boxer'!
Pengasas ZXMoto, Zhang Xue mengesahkan enjin 'boxer' 2 Silinder, Penyejuk Cecair itu tidak akan dipasang pada motosikal kruiser, sebaliknya dikhususkan untuk model kembara lasak atau 'Adventure' bagi mencabar segmen yang sekian lama dikuasai model legenda, BMW GS
TERKINI
7/7/20261 min read


PENGELUAR motosikal asal China yang berjaya mencetus sensasi atas pelbagai sebab, ZXMoto melakar sejarah baharu dalam industri dua roda apabila berjaya menghidupkan enjin jenis 'boxer' berkapasiti 1,000 cc rekaan mereka sendiri, baru-baru ini.
Apa yang menarik, pengasasnya, Zhang Xue mengesahkan enjin 2 Silinder, Penyejuk Cecair itu tidak akan dipasang pada motosikal kruiser, sebaliknya dikhususkan untuk model kembara lasak atau 'Adventure' bagi mencabar segmen yang sekian lama dikuasai model legenda, BMW GS.
Kata Zhang Xue, reka bentuk enjin boxer dari ZXMoto memberi kelebihan besar kepada motosikal jenis ADV yang berfungsi sebagai penghadang angin semula jadi yang melindungi kaki penunggang, sekali gus memberi keselesaan luar biasa untuk perjalanan jarak jauh.
Selain itu, reka bentuk enjin itu memberikan pusat graviti yang rendah, menjadikan motosikal lebih stabil dan sangat mudah dikendalikan di pelbagai jenis permukaan jalan.
Menyedari kehebatan teknologi hampir 100 tahun BMW, Zhang Xue menegaskan pihaknya tidak meniru reka bentuk jenama Jerman itu kerana ia melanggar etika dan undang-undang paten. Justeru, ZXMoto mengambil pendekatan berbeza dengan tidak mengejar kuasa kuda yang melampau.
Sebaliknya, fokus utama mereka adalah menghasilkan jentera yang jauh lebih ringan. ZXMoto menyasarkan berat keseluruhan motosikal itu di bawah 200 kilogram (kg), iaitu sekitar 50 kg lebih ringan berbanding BMW R 1250 GS yang seberat hampir 250 kg.
Enjin ZXMoto itu sendiri dilaporkan 5 hingga 6 kg lebih ringan berbanding enjin boxer BMW, sekali gus menjanjikan pengendalian yang jauh lebih lincah dan mesra penunggang.
Lebih menarik, motosikal yang menggunakan pacuan 'shaft drive' ini bakal dilengkapi teknologi kotak gear canggih yang menawarkan tiga pilihan penukaran gear mengikut keperluan iaitu manual, automatik dan semi-automatik.
Berdasarkan perancangan, prototaip motosikal ini dijangka membuat kemunculan pertama di Pameran Motosikal Chongqing tahun ini, sebelum dilancarkan secara rasmi ke pasaran pada separuh kedua tahun 2027.
Kejayaan mengubah enjin boxer daripada sekadar lukisan kepada enjin yang benar-benar berfungsi membuktikan kebangkitan teknologi automotif China. Jika berjaya dikeluarkan kelak, motosikal ini berpotensi besar menjadi 'BMW GS Rakyat', jentera ADV berprestasi tinggi dengan harga yang jauh lebih mampu milik.

