ZXMOTO Sah Masuk Pasaran Malaysia Menerusi MForce Bike!

ZXMoto seperti diketahui berjaya mencetus sensasi di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) apabila meraih dua kemenangan dalam kelas WorldSSP di pusingan ke-2 WSBK di Portugal pada bulan lalu

TERKINI

4/14/20261 min read

JENAMA motosikal yang berjaya mencetus sensasi di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) pada musim ini, ZXMoto sah memasuki pasaran tempatan dan seperti jangkaan, menerusi kerjasama strategik bersama MForce Bike Holdings Sdn. Bhd sebagai pengedar eksklusif.

Apa yang menarik, perbincangan mengenai kerjasama itu sudah pun dimulakan sejak Oktober tahun lalu menerusi kunjungan pengasas ZXMOTO sendiri ke Malaysia, Zhang Xue, ke kilang pemasangan motosikal MForce di Pulau Pinang.

Lawatan itu menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta meneroka potensi kerjasama dalam memperkukuhkan kehadiran jenama ZXMOTO bukan saja di Malaysia, malah di rantau ini.

Dan hasil daripada perbincangan yang konstruktif, kedua-dua pihak berjaya persetujuan untuk menjalinkan kerjasama eksklusif, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam perkembangan industri motosikal tempatan.

Sebagai permulaan, tiga model motosikal ZXMOTO diterima MForce Bike untuk menjalani ujian ketahanan di Malaysia yang bertujuan memastikan setiap model memenuhi piawaian prestasi, ketahanan serta kesesuaian dengan keadaan jalan raya dan iklim tempatan sebelum diperkenalkan secara rasmi kepada pengguna Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi MForce Bike, Asri Ahmad berkata pengenalan rasmi jenama ZXMOTO akan diadakan pada 29 Mei 2026 sempena acara Malaysia Bike Show 2026.

"Semua peminat ZXMOTO di Malaysia bakal berpeluang untuk menyaksikan beberapa model terkini yang akan dipamerkan, termasuk model-model berprestasi tinggi.

"Lebih istimewa, pengunjung juga berpeluang melihat model motosikal yang berjaya mencipta kejayaan dengan meraih dua kemenangan dalam kelas WorldSSP di pusingan ke-2 WSBK di Portugal pada bulan lalu."

Turut mengujakan, acara berkenaan dijangka akan turut disertai Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue.

MForce Bike dalam pada itu menjangka kerjasama dengan ZXMoto akan membuka peluang baharu dalam menawarkan produk berkualiti tinggi kepada pengguna tempatan, di samping mengukuhkan lagi kedudukan syarikat itu sebagai pemain utama dalam industri pengedaran dan pemasangan motosikal di Malaysia.